Malaysia Oversight

Lelaki warga emas kumpul sampah 32 tan dalam rumah

By Utusan in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Lelaki warga emas kumpul sampah 32 tan dalam rumah


JOHOR BAHRU: Sikap seorang warga emas yang ‘mengumpul’ sampah sehingga kini mencecah 32 tan di dalam rumahnya di Taman Sentosa di sini sejak 30 tahun lalu menimbulkan keresahan dan rungutan penduduk sekitar.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata, ‘hobi’ pelik lelaki berusia 70-an itu mendatangkan masalah bau busuk dan menarik kehadiran haiwan perosak seperti tikus, lipas, lalat dan anai-anai.

“Akibat terlalu banyak sampah, kediaman ini sudah tidak boleh didiami dan dia turut tidur di lorong belakang rumahnya. Longgokan sampah bukan sahaja dalam rumah malah turut memenuhi ruang garaj sehingga menyebabkan jiran-jiran  tidak selesa,” katanya.

Dia ditemui semasa operasi pembersihan yang dijalankan bersama oleh pihak berkuasa tempatan dan syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Menurutnya, sampah itu berjaya dikeluarkan selepas pihaknya berjaya memujuk bekas guru itu termasuk dengan memberikan wang sebagai bayaran bagi barangan kitar semula.

“Sebenarnya kami sudah pujuk dia untuk bersihkan rumah sejak dua tahun lalu, tetapi dia enggan beri kerjasama. Namun kali ini kami terpaksa ambil tindakan kerana aduan banyak diterima.

“Lelaki ini dakwa barangan itu dikumpul untuk dijual secara kitar semula dan berharga RM8,000. Namun berdasarkan pengiraan kami anggaran nilai kitar semula tidak sampai RM1,000 namun kami berikan dia RM1,000,” katanya.

Katanya, antara barangan yang ‘dikumpul’ warga emas itu termasuk periuk nasi, dapur lama, kerusi kayu, sofa lusuh, pakaian lama, beg, kasut serta botol dan tin minuman yang berkarat.

Warga emas itu dipercayai tinggal bersendirian selepas isterinya yang berasal dari Taiwan pulang ke negara asal manakala tiga anak lelakinya kini menetap di Singapura.

“Hubungan anak-beranak itu dipercayai bermasalah akibat ‘hobi’ lelaki ini yang suka mengumpul sampah. 

“Kami akan cuba beri bantuan kepada dia termasuk rawatan psikologi dan dia juga  menolak untuk ditempatkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kami bimbang masalah ini akan berulang sekiranya dia terus tinggal bersendirian,” katanya. – UTUSAN





Source link