Malaysia Oversight

Lelaki Pakistan maut, SUV dipandu rempuh plaza tol

By Utusan in January 12, 2026 – Reading time 2 minute
Lelaki Pakistan maut, SUV dipandu rempuh plaza tol


KEPALA BATAS : Seorang lelaki warga Pakistan manakala rakannya cedera parah selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh tembok plaza tol di Plaza Tol Sungai Dua di sini, malam tadi.

Identiti mangsa yang itu bagaimanapun belum dapat dikenal pasti sepenuhnya buat masa ini manakala rakannya yang cedera parah pula dikenal pasti sebagai Zafar Iqbal, 42, juga dari Pakistan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.43 malam sebelum bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa yang masing-masing berada di bahagian pemandu dan penumpang dilaporkan berada dalam keadaan tersepit.

“Mangsa pertama iaitu yang duduk di bahagian penumpang bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

“Sementara itu, mangsa kedua (pemandu) pula berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 11.35 malam oleh anggota bomba yang bertugas dengan menggunakan peralatan khas kebombaan selain dibantu oleh PBS (pasukan bomba sukarela) berdekatan.

“Mangsa kedua ini bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu, operasi ditamatkan kira-kira pukul 12.07 tengah malam, tadi.

Difahamkan, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan buat masa ini.-UTUSAN

 





Source link