Malaysia Oversight

Lelaki maut disambar petir lepas memancing

By MkiniBM in November 13, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seorang lelaki disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama rakan-rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, dekat Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Mangsa yang juga pemilik bot keluar memancing bersama tiga rakannya pada 8 pagi melalui jeti nelayan itu.

“Kira-kira jam 7.20 malam semua pulang semula ke jeti selepas selesai memancing dan ketika itu hujan menyebabkan mereka berlindung di bawah bumbung jeti berkenaan.

“Mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah walaupun dalam keadaan hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Azhar semasa hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir sehingga menyebabkan dia jatuh ke bawah jeti.

“Orang awam yang berada di situ turut membantu mengangkat mangsa naik ke bot sebelum dibawa ke darat. Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital kira-kira 8.35 malam sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Bernama



Source link