Malaysia Oversight

Lelaki ditahan disyaki ceroboh rumah di Sungai Petani

By TheSun in September 4, 2025 – Reading time 1 minute
Lelaki ditahan disyaki ceroboh rumah di Sungai Petani


SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki malam tadi yang disyaki menceroboh sebuah rumah di Bandar Perdana dekat sini pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata penganggur berusia 21 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam di kawasan perumahan Taman Sidam Kiri.

Lelaki itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine walaupun tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Polis merampas beberapa barangan daripadanya termasuk telefon bimbit, pisau serta sebuah kereta.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak tiga minggu lepas.

Suspek juga disyaki terlibat dengan tiga kes ragut lain di daerah ini.

Dia kini direman sehingga 9 September untuk siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang lelaki bersenjatakan pisau menceroboh ke sebuah rumah.

Kejadian pada pukul 7.35 pagi itu dirakam kamera litar tertutup di rumah mangsa.

Rakaman CCTV memaparkan suspek melompat melalui tembok dan masuk ke rumah sebelum melarikan wang tunai dan telefon bimbit. – Bernama



Source link