Malaysia Oversight

Legasi Karpal Singh masih hidup

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 2 minute
Legasi Karpal Singh masih hidup


Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, menegaskan walaupun dia amat menghormati bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat, namun secara berhemah dirinya tidak bersetuju dengan kenyataan umum bahawa ahli politik adalah ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk mendiang pengerusi DAP, Karpal Singh – yang dianggap sebagai “pembela tegar Perlembagaan Persekutuan sehingga ke akhir hayatnya” – Ahli Parlimen Jelutong itu berkata terdapat ramai lagi ahli politik yang menzahirkan komitmen sama.

303bc035ebafade3c92573a05bf27653
RSN Rayer

“Seluruh negara tahu bahawa mendiang Karpal adalah pembela tegar Perlembagaan Persekutuan. Sama ada di mahkamah atau di Parlimen, Karpal mempertahankan Perlembagaan Persekutuan habis-habisan.

“Sepanjang kerjaya politik dan guamannya, Karpal mempertahankan Perlembagaan Persekutuan walaupun terpaksa membayar harga dengan kebebasannya sendiri.

“Jadi adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa di Malaysia, ahli politik adalah ancaman kepada Perlembagaan Persekutuan. Ramai ahli politik hari ini berkongsi aspirasi dan ideologi yang sama dengan mendiang Karpal,” katanya.

Karpal, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014, dikenang sebagai “Harimau Jelutong” dan dianggap sebagai salah seorang peguam, ahli Parlimen serta pejuang hak asasi manusia paling berani di Malaysia.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu membina reputasinya melalui keberanian tanpa kompromi dalam mempertahankan prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan keadilan – meskipun sering berhadapan dengan kuasa politik besar atau risiko kebebasan peribadinya.

f6e08776b0aa73770b6e47d538cca4b4
Ramkarpal, Gobind dan Jagdeep

Tiga anak lelaki Karpal turut mengikut jejaknya dalam politik – Gobind Singh Deo, pengerusi DAP kini merangkap menteri digital; Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor; dan Jagdeep Singh Deo, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang.

Rayer menegaskan bahawa DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan istimewa raja-raja Melayu, sebagai agama persekutuan, keistimewaan orang Melayu, serta Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, adalah sangat berbahaya untuk mengatakan ahli politik adalah ancaman kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Rayer menekankan bahawa adalah tanggungjawab setiap ahli politik di Malaysia, khususnya dan Ahli Parlimen, tanpa mengira parti, untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kemakmuran negara berterusan.

“Melindungi Perlembagaan Persekutuan juga bermaksud memberi respons kepada sesiapa sahaja yang mengatakan ahli politik adalah ancaman kepada Perlembagaan Persekutuan – walaupun ia datang daripada bekas ketua hakim negara,” tambahnya.

5f30339bbc397e585836c6c69685ad10
Tengku Maimun Tuan Mat

Menjawab soalan daripada hadirin dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam, Tengku Maimun berkata bahawa ahli politik ahli politik sendiri yang mengancam kesucian dan keluhuran Perlembagaan.

“Ancaman paling besar adalah ahli politik. Maaf, saya fikir lebih baik saya tak huraikan dengan lanjut (berkenaannya),” katanya.

Walaupun cuba meredakan kenyataannya dengan senyuman sinis, Tengku Maimun berkata sementara dia tidak pernah berdepan “campur tangan” mana-mana pihak ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, keadaan berbeza ketika dia menjadi Ketua Hakim Negara.

“Menjelang penghujung tempoh saya sebagai Ketua Hakim Negara, ada tanda-tanda cubaan campur tangan,” katanya tanpa mendedahkannya dengan lebih lanjut.



Source link