Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Ahmad Ramdzan Daud menggesa lebih banyak perlindungan undang-undang diberikan kepada pemberi maklumat yang berani tampil mendedahkan salah laku dari dalam sesebuah organisasi.
Dalam wawancara bersama New Straits Times, Ramdzan menjelaskan bahawa kerangka undang-undang sedia ada terlalu kaku dan tidak cukup berkesan dalam melindungi pemberi maklumat.
Justeru, dia mencadangkan agar sistem dalaman, terutama melibatkan peranan penyelia dan kelemahan struktur, dikaji semula secara menyeluruh.
“Siapa yang sanggup tampil memberikan maklumat tentang sindiket jika nyawa sendiri berada dalam bahaya yang serius?”
“Sudah tentu penjenayah akan sentiasa mencari ruang atau kelemahan untuk menyusup masuk. Tapi itulah sebabnya kita perlu membincangkan keperluan sistem penyeliaan yang betul,” katanya kepada NST.
Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, yang antara lain, membenarkan pendedahan salah laku dibuat melalui platform selain agensi penguat kuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dalam ucapan penggulungannya turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada media.

Peruntukan dalam akta tersebut menjadi perhatian susulan laporan media berhubung skandal rasuah di Sabah, yang berpunca daripada pendedahan ahli perniagaan Albert Tei yang turut memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat.
Peguam Tei, Mahajoth Singh, sebelum ini berkata bahawa anak guamnya hanya memilih untuk tampil secara terbuka — dengan mendedahkan rakaman video dan dokumen yang mengaitkan beberapa Adun Sabah kepada Malaysiakini — selepas permohonannya diketepikan oleh SPRM dan menerima ugutan bunuh.

Pada 30 Julai lalu, Tei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Turut didakwa ialah Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan Adun Sindumin, Yusof Yacob, atas tuduhan menerima rasuah.
Dalam pada itu, Ramdzan turut mencadangkan agar pemberi maklumat diberikan ganjaran kewangan dalam kes-kes tertentu, namun menegaskan bahawa insentif tersebut tidak boleh didorong oleh kepentingan peribadi.
“Jika kita berjaya mengelakkan kebocoran RM1 juta dalam bentuk barangan bersubsidi, adakah tidak wajar untuk mencadangkan 10 atau 15 peratus diberikan kepada pemberi maklumat?
“Namun, jika setiap kes melibatkan wang dijadikan peluang untuk ganjaran, kita berisiko hilang kawalan… Jika seseorang tampil kerana dendam, misalnya selepas gagal mendapatkan kontrak, maka dia juga adalah pesalah. Integriti mesti wujud dalam diri pemberi maklumat itu sendiri,” katanya.
Ramdzan turut menekankan bahawa pemberi maklumat tidak wujud sekelip mata, sebaliknya mereka sering berdepan risiko terhadap keselamatan diri dan keluarga apabila memilih untuk tampil di khalayak.
“Seseorang yang bekerja dalam sindiket, contohnya, mungkin telah lama terlibat dalam aktiviti tersebut. Ia bukan semudah hari ini bekerja, esok terus jadi pemberi maklumat. Mereka sudah lama menimbang risiko yang ada.
“Jika mereka sanggup tampil, maka kita perlu tanya: apa yang kita boleh tawarkan kepada mereka? Dan lebih penting, adakah tawaran itu setimpal dengan risiko yang mereka hadapi?
“Mereka tahu bahawa sebaik sahaja mereka bertindak, identiti mereka pada asasnya akan terdedah. Mereka menjadi sasaran. Dan di sinilah kita perlu tampil — untuk memberikan perlindungan dan sokongan,” jelasnya
Rang Undang-undang (Pindaan) Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 antara lain memperkenalkan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang akan dipengerusikan dan dianggotai oleh individu yang dilantik kerajaan.
Jawatankuasa itu kelak akan menyelaras pelaksanaan kuasa umum yang dipegang oleh agensi penguat kuasa berkaitan semua aspek perlindungan pemberi maklumat.