Banyak lagi laporan polis akan dibuat terhadap individu yang didakwa mengugut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketua Biro Mobilisasi Pemuda PKR (AMK), Bariqul Zaman, berkata dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam mewakili AMK, dan menegaskan laporan susulan akan dibuat oleh cabang serta ranting PKR lain.
“Selepas ini, cabang dan negeri akan terus membuat laporan di kawasan masing-masing.
“Setakat ini saya dimaklumkan lima negeri sudah bertindak, tetapi cabang belum saya dapat maklumat lagi,” katanya ketika dihubungi.
Bariqul mengingatkan bahawa sebarang pandangan terhadap kerajaan perlu disampaikan dengan berhemah dan penuh adab.
“Sebagai rakyat Malaysia, budi bahasa adalah asas perpaduan kita. Media sosial tidak wajar dijadikan platform untuk ugutan atau intimidasi yang boleh mengancam keselamatan negara,” tegasnya.
Menurutnya, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada orang ramai agar berkomunikasi dengan lebih beradab, sama ada dalam politik mahupun interaksi di alam maya.
Semalam, Bernama melaporkan polis menahan dua lelaki kerana disyaki memuat naik hantaran di media sosial yang mengandungi unsur ugutan jenayah, hasutan dan fitnah terhadap kerajaan serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai memuat naik kenyataan berunsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan melalui akaun TikTok bernama Mohd Soie (@mohd.soie3).
“Tangkapan seterusnya melibatkan seorang lagi lelaki berumur 44 tahun, yang disyaki membuat satu komen berunsur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia menggunakan akaun Facebook Mdjohan Ngadin,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan, ugutan jenayah, berita palsu atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.