Malaysia Oversight

Lebih baik FAM tutup mulut dulu

By MkiniBM in September 29, 2025 – Reading time 2 minute
Lebih baik FAM tutup mulut dulu


ULASAN SUKAN | Akhbar Harian Metro melaporkan pengakuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang dakwaan wujudnya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dan kesilapan itu dianggap punca mengapa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan hukuman terhadap tujuh pemain warisan negara serta denda. 

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang menjelaskan kesilapan teknikal berkenaan dilakukan oleh kakitangan pentadbiran FAM.

Sementara itu, dilaporkan juga bahawa FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Fifa sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.

Antara lain kenyataan tersebut dilaporkan berbunyi begini: “FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.”

Di atas premis laporan berita di itu benar, saya agak terkejut dan juga pelik tatkala membaca kenyataan tersebut. Berikut adalah komentar saya.

Memandangkan FAM dilaporkan sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Fifa sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada, sewajarnya di peringkat ini lebih baik mana-mana pihak khususnya FAM sendiri memilih untuk tidak membuka mulut apatah lagi mengeluarkan kenyataan seperti “FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.”

Sejujurnya saya tidak pasti mengapa kenyataan itu perlu dikeluarkan oleh FAM, khususnya di peringkat ini dan dilaporkan pula oleh media.

Isunya adakah FAM tidak dinasihati oleh mana-mana penasihat undang-undang atau peguam sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan?

Apa-apa pun, minat saya pada isu ini hanya berkisar kepada isu perundangan semata-mata.


MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang-undang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link