Malaysia Oversight

Lebih 70 hadir tanda solidariti buat wartawan dibunuh di Gaza

By MkiniBM in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Lebih 70 hadir tanda solidariti buat wartawan dibunuh di Gaza


Lebih 70 orang hadir di Dataran Merdeka malam tadi sebagai tandak solidariti memperingati 237 wartawan yang terkorban di Gaza sejak serangan Israel bermula ke wilayah itu pada 7 Okt 2023.

Program anjuran aktivis GEGAR itu berlangsung selama sejak mulai 8 malam.

Ia diisi pelbagai acara termasuk bacaan wasiat terakhir wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, yang terkorban di medan peperangan baru-baru ini.

Peserta hadir dengan pakaian serba hitam sambil memegang gegantung mengecam Israel, manakala gambar wartawan-wartawan yang terbunuh diletakkan di tapak acara bersama nyalaan lilin sebagai simbol solidariti.

Bercakap kepada Malaysiakini, wakil peganjur Xiang Xiang memberitahu himpunan itu diadakan serentak di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam sebagai tanda memperingati keberanian wartawan Palestin.

“Kami minta kepada semua agar sila ikuti wartawan yang masih berada di Gaza, dan yang masih dalam tahanan pada masa ini serta berikan sokongan, kongsikan hantaran mereka, cerita mereka, kebenaran yang mereka laporkan… kerana semua itu sangat penting.

“Kita perlu menghantar teks bantahan, kita perlu bersatu, kita perlu bercakap tentang itu, kita perlu melakukan apa sahaja untuk membebaskan Palestin.

“Tidak ada detik yang lebih penting untuk mengangkat suara Palestin berbanding sekarang serta mengambil tindakan konkrit untuk membebaskan negara itu,” katanya.

Pada Ahad lalu Al Jazeera melaporkan kematian empat kakitangannya, termasuk seorang wartawan terkenal, Anas, selepas Israel menyerang sebuah khemah wartawan berhampiran sebuah hospital di Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengaku melancarkan serangan ke atas Anas dan menganggapnya bekerja untuk Hamas.

Dalam wasiatnya yang diminta untuk disiarkan selepas kematiannya, Anas menulis: “Ini wasiat saya dan mesej terakhir saya. Jika kata-kata ini sampai kepada anda, ketahuilah bahawa Israel telah berjaya membunuh saya dan membungkam suara saya.

“Allah menjadi saksi bahawa saya telah memberikan segala tenaga dan kekuatan yang saya miliki untuk menjadi penyokong dan suara bagi rakyat saya, sejak saya membuka mata di lorong dan jalan di kem pelarian Jabalia.

“Saya telah merasai kesakitan dalam semua bentuk dan menelan dukacita serta kehilangan berkali-kali.

“Namun saya tidak pernah ragu untuk menyampaikan kebenaran seadanya, tanpa penyelewengan atau pemalsuan, dengan harapan Allah menjadi saksi terhadap mereka yang berdiam diri, yang merelakan pembunuhan kami, yang menyesakkan nafas kami, yang hati mereka tidak terusik dengan jasad-jasad anak-anak dan wanita kami yang bergelimpangan, dan mereka yang tidak menghentikan pembantaian yang menimpa rakyat kami selama lebih setahun setengah.”

Pejabat Media Gaza dalam kenyataan memaklumkan, jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan tindakan genosid Israel di Gaza pada meningkat kepada 237 orang susulan kematian Anas dan Qraiqea bersama tiga petugas media lain.

Israel kini berdepan kecaman global yang semakin meningkat berhubung perang genosidnya di Gaza yang mengorbankan lebih 61,000 nyawa sejak Okt 2023.



Source link