Lebih 600 Perkhidmatan Kerajaan Korea Selatan Tergendala Selepas Pusat Data Terbakar
Effi Saharudin
Perkhidmatan atas talian menyelesaikan pelbagai masalah remeh seperti memohon nombor giliran di JPN, memesan ubat di klinik KKM dan memperbaharui pasport. Adalah sukar untuk kita kembali kepada sistem lama yang kurang efisien. Namun begitu inilah yang terjadi kepada warga Korea Selatan selepas sistem IT nasional lumpuh kerana kebakaran di pusat data Perkhidmatan Sumber Maklumat Negara Korea Selatan di Daejeon.
Disebabkan kebakaran di pusat data tersebut, 647 perkhidmatan IT milik kerajaan tergendala. Perkhidmatan Sumber Maklumat Negara adalah tunjang kepada sekitar 1600 perkhidmatan kerajaan Korea Selatan dengan pusat data ditempatkan di Daejeon, Gwangju dan Daegu.

Perkhidmatan tergendala sementara menanti api dipadamkan. Kerana ia merupakan pusat data, kebakaran tidak boleh dipadam dengan air dan sebaliknya sistem pemadam karbon dioksida digunakan.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Korea Herald hujung minggu lalu, kebakaran adalah disebabkan bateri yang digunakan sistem sandaran kuasa UPS sekiranya bekalan elektrik tergendala. Setakat pagi ini, hanya 47 perkhidmatan telah dikembalikan semula dengan proses memulihkan operasi dilakukan secara berperingkat. Sebanyak 96 sistem musnah dalam kebakaran dengan ia dijangka dapat beroperasi semula dalam masa 2 minggu lagi.
Gangguan kepada infrastruktur IT Korea Selatan ini mengingatkan kami kepada insiden Pusat Data Nasional Indonesia yang menjadi mangsa perisian tebusan Lockbit tahun lalu. Kegagalan melakukan sandaran secara berkala menyebabkan 210 perkhidmatan agensi kerajaan tergendala dengan bayaran Rp 131 billion (~RM 33 juta) diminta oleh penggodam. Tetapi kumpulan penggodam Brain Cipher kemudiannya menyahkunci data secara percuma kerana kasihan dengan nasib rakyat Indonesia yang menjadi mangsa serangan mereka.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






