PARLIMEN l Lebih 500,000 kandungan dalam talian diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Jan 2022 sehingga 1 Ogos 2025 kerana melanggar undang-undang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kandungan tersebut merangkumi 321,012 kes berkaitan perjudian, 119,273 kandungan penipuan, 43,585 kandungan jelik, 35,420 kes buli atau gangguan seksual, serta 38,818 kandungan palsu.
Beliau menjelaskan, tindakan menurunkan kandungan itu dilakukan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana kandungan tersebut melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), undang-undang lain, serta garis panduan komuniti penyedia platform.
Teo berkata MCMC sentiasa meningkatkan kecekapan pemantauan kandungan berbahaya dalam talian dengan menjalinkan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“Penglibatan MCMC merangkumi bantuan teknikal, termasuk pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC komited memastikan persekitaran dalam talian yang selamat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
– Bernama