Malaysia Oversight

Lebih 50 gerai sajikan juadah tempatan, antarabangsa pada Festival Makan@Ampang

By Utusan in November 15, 2025 – Reading time 3 minute
makan@ampang


AMPANG JAYA: Hari kedua Festival Makan@Ampang sempena sambutan Hari Penjaja 2025 berlangsung meriah apabila lebih 50 gerai makanan dan minuman dibuka kepada orang ramai di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, di sini.

Festival anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu menarik kehadiran ribuan pengunjung sejak awal pagi yang datang bersama keluarga bagi menikmati pelbagai juadah tempatan dan antarabangsa.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ,  Hasrolnizam Shaari, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan komitmen masyarakat dalam menyokong usaha memperkasa penjaja tempatan dan memeriahkan ekonomi komuniti.

“Hari ini kita lihat pelbagai segmen masyarakat hadir – dari warga emas hingga kanak-kanak – semuanya bersatu dalam suasana penuh harmoni. Inilah semangat komuniti yang kita ingin semarakkan melalui festival ini,” katanya ketika ditemui media.

Lebih menarik, festival ini bukan sekadar medan menjamu selera, malah turut menyajikan pelbagai aktiviti hiburan seperti Pertandingan Karaoke Terbuka yang berlangsung meriah sejak petang semalam dan menarik penyertaan pelbagai peringkat umur.

Sementara itu, Mini Karnival yang menampilkan permainan interaktif seperti baling tin, dart belon, dan gelung botol menjadi tumpuan kanak-kanak dan remaja, menjadikan festival ini lokasi riadah hujung minggu yang ideal untuk seisi keluarga.

Antara gerai yang mencuri perhatian termasuk sajian tradisional seperti nasi lemak, rojak, satay dan cendol, manakala hidangan moden seperti burger bakar, takoyaki, waffle, dan minuman boba turut menjadi rebutan pengunjung muda.

Suasana di kawasan festival bertambah meriah dengan persembahan muzik secara langsung, bau makanan yang menyelerakan, serta suasana padang yang dihias mesra pengunjung dengan kemudahan tempat duduk dan kawasan rehat.

Bagi peniaga, peluang berniaga di festival ini sangat bermakna kerana mereka bukan sahaja dapat memperkenalkan produk, malah berpeluang meningkatkan pendapatan dalam suasana santai dan terbuka.

Menurut salah seorang penjaja, Zuraida Ahmad, 38, sambutan pengunjung amat memberangsangkan dan memberi peluang besar kepada usahawan kecil untuk menonjolkan diri.

“MPAJ menyediakan ruang niaga yang teratur, bersih dan kondusif. Kami amat berterima kasih atas inisiatif ini yang membuka jalan kepada ramai penjaja,” katanya.

Pihak MPAJ menjangkakan jumlah pengunjung akan terus meningkat menjelang hari terakhir esok, dengan pelbagai acara kemuncak turut dijadualkan termasuk cabutan bertuah, sesi ‘food challenge’ serta persembahan pentas.

Festival Makan@Ampang adalah antara program berimpak tinggi yang disusun selaras dengan sambutan Hari Penjaja 2025, bagi mengiktiraf peranan penjaja dalam pembangunan ekonomi tempatan.

Program ini juga menjadi manifestasi kepada visi MPAJ dalam membina bandar yang inklusif, mesra komuniti dan mampan, sejajar dengan tema #RakyatHarmoniAmpangSejahtera.

MPAJ menjemput seluruh warga Ampang Jaya dan kawasan sekitarnya untuk terus memeriahkan festival ini hingga ke hari terakhir esok dan bersama-sama menyokong penjaja serta produk tempatan.





Source link