KOTA BHARU: Lebih 30,000 rakyat negeri ini membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, di sini bagi meraikan sambutan Ambang Merdeka dan Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68 malam tadi.
Kemeriahan sambutan itu dimulakan dengan persembahan kebudayaan dari agensi-agensi kerajaan termasuk institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Polytech Mara Kota Bharu.
Nyanyian lagu-lagu patriotik, tarian bendera dari UiTM Kelantan dan ‘brass band’ dari Sekolah Menengah Sains Machang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu.
Acara perbarisan Hari Kebangsaan
bermula tepat pukul 9.30 malam, didahului oleh anggota-anggota pelbagai jabatan membawa sebanyak 68 Jalur Gemilang bersempena ulang tahun kemerdekaan negera, diikuti perarakan bendera besar oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ia kemudian, disusuli perbarisan kadet-kadet badan beruniform dari sekolah-sekolah sekitar Kota Bharu yang membawa masuk sebanyak 68 bendera negeri Kelantan.
Perbarisan kemudiannya diteruskan dengan perarakam masuk 68 kontinjen mewakili jabatan-jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan yang memperagakan pelbagai pakaian bagi melambangkang semangat patriotik.
Perarakan masuk 68 buah motosikal klasik dari Kelantan Custom Rare menjadi penutup kepada acaran perbarisan.
Sambutan kemudian diteruskan dengan upacapan menaikkan Jalur Gemilang seterusnya Amanat Hari Kebangsaan Tahun 2025 dan perasmian sambutan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Selepas persembahan kebudayaan, Stadium Sultan Muhammad IV digamatkan dengan persembahan akrobatik bermotosikal dari Army Red Warrior dengan melakukan lompatan melepasi 10 motosikal dan tujuh buah kereta jenis sedan.
Sambutan Ambang Merdeka itu disudahi dengan laungan tujuh kali Merdeka dan pertunjukan bunga api.-UTUSAN