Penyelaras Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Fadhil Kasim menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim “berhenti “menjadi hipokrit” dan mengambil pendirian tegas terhadap individu yang rasuah.
“Perdana menteri juga harus meneruskan reformasi yang dijanjikannya kepada kami,” katanya kepada Malaysiakini.
Ini adalah antara tuntutan yang dibuat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang berlangsung hari ini di Kota Kinabalu, Sabah – yang menyaksikan lebih 100 orang hadir.
Perhimpunan yang bermula 2 petang hari ini akan diteruskan sehingga 11 pagi esok.
Ramai yang dilihat menyanyikan lagu dan membawa sepanduk bertulis “Koruptor Yang Baik, Koruptor Yang Mati” dan “All Power to the People”.
Polis dilihat membantu pergerakan orang ramai tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Kumpulan itu sebelum itu berkumpul pada pukul 1 tengah hari berhampiran pusat beli belah Suria Sabah, sebelum berarak menuju ke Dataran Deasok.

Menyentuh mengenai perhimpunan itu, Fadhil berkata tuntutan teras kumpulan itu kekal sama, menggesa tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Sabah (Jans) dan SPRM dimulakan sebagai entiti yang benar-benar bebas.
Mereka juga membantah pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri dan menggesa Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap perasuah.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemuda Warisan, Melvin Lo, yang menyertai perhimpunan itu, dilihat membuang salinan Akta Pemberi Maklumat 2010 ke dalam tong sampah selepas mengadu bagaimana ia tidak digunakan dengan betul untuk melindungi pemberi maklumat.
“SPRM tidak mengambil berat tentang pemberi maklumat dan tidak pernah melindunginya,” katanya kepada Malaysiakini.
Lo merujuk kepada laporan pada 18 Jun, yang memetik pemberi maklumat yang dikenali sebagai Albert yang mendedahkan skandal rasuah Sabah, akan didakwa pada 30 Jun, bersama dua lagi Adun Sabah.
Peguamnya, Mahajoth Singh menyifatkan ia sebagai “mengejutkan dan mengecewakan”.
Lo berkata: “Pertuduhan yang dilemparkan terhadap pemberi maklumat adalah cacat.
“Itulah sebabnya saya marah dan membuangnya (satu salinan Akta Pemberi Maklumat) ke dalam tong sampah.”