Malaysia Oversight

Lebih 100 buah taska di Selangor tidak berdaftar

By Utusan in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
Taska tidak berdaftar


SHAH ALAM: Lebih 100 taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini dikesan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan jaminan keselamatan di pusat jagaan itu dipantau.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, bagaimanapun bantuan diberikan kepada taska berkenaan dengan syarat pengurusan taska berkenaan menyediakan kawalan keselamatan minimum kepada kanak-kanak jagaannya.

“Kita wujudkan geran pusat jagaan untuk permudahkan mereka beroperasi tetapi terdapat sedikit cabaran untuk mereka mendaftar (dengan JKM).

“Maksimum RM5,000 bagi setiap operator dan dana keseluruhan diperuntukkan bagi geran adalah RM400,000,” katanya selepas majlis pelancaran program Care Accelator (XCARE) 2025, hari ini.

Jelasnya, negeri juga sentiasa memantau rapat kesemua rumah pengasuh melalui Program Impak supaya langkah keselamatan dan kualiti penjagaan kanak-kanak berada pada tahap tertinggi.

Kata Anfaal, sebanyak 1,000 penyertaan diterima melalui program tersebut sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023 bagi membolehkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak atau asuhan ditawarkan.

“Ada di antara mereka jadi pengasuh untuk cari rezeki, tetapi tidak bercadang nak buka rumah pengasuh dengan skala yang besar kerana nak mengasuh kanak-kanak dalam jumlah yang kecil.

“Justeru ambil inisiatif untuk bantu mereka. Tetapi, pengasuh perlu jaga betul-betul anak-anak di bawah jagaan mereka,” jelasnya.

Mengulas mengenai XCARE 2025, beliau memberitahu, seramai 22 pusat jagaan, kesihatan mental dan perbidanan terlibat dengan melalui tujuh modul berkaitan pembangunan perniagaan di samping kelas dan klinik pemasaran. – UTUSAN





Source link