Lebih 10 kes termasuk pempengaruh dan peniaga di Kelantan telah diberi kaunseling kerana mengeluarkan kata-kata atau perbuatan tidak sopan ketika bersiaran langsung di media sosial sejak tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata kesemua mereka yang terlibat diberi kaunseling oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Beliau berkata tindakan itu diambil mengikut Seksyen 21(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan sehingga kini tiada kes-kes pendakwaan terhadap isu yang dihadapi mereka.
“Kebanyakan mereka dikesan melakukan perkara ini ketika bersiaran langsung di media sosial seperti TikTok. Apabila ada perkara sedemikian, kami akan memanggil mereka untuk memberi kaunseling kerana kerajaan negeri akan sentiasa memantau berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
“Hanya kes yang berlaku di Kelantan boleh diambil tindakan. Jika berlaku di luar Kelantan, kami tidak boleh ambil tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Asri berkata sebanyak 17 kes membabitkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diberi nasihat menerusi program khidmat kaunseling setakat ini.
“Kami memberi khidmat kaunseling kepada mereka atas pelbagai isu termasuk golongan lelaki yang berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki,” katanya.
– Bernama






