Malaysia Oversight

Lebam, berdarah buat ibu syak ada tak kena dalam kematian anak

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Lebam, berdarah buat ibu syak ada tak kena dalam kematian anak


Seorang ibu yang masih lagi bersedih dengan kematian anaknya membuat laporan polis selepas jenazah anaknya ditemui dengan kesan lebam yang teruk, luka-luka yang menyerupai kecederaan akibat tembakan dan resapan darah.

Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata, dia dimaklumkan mengenai tragedi itu pada 28 Julai lalu apabila menerima panggilan daripada pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai kira-kira jam 4.30 petang.

Anaknya, Haris Samsudin, merupakan seorang pelajar di institusi pengajian tinggi tersebut.

Menurut Ummu Haiman, dia dimaklumkan Haris meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Pusat Latihan Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.

Bagaimanapun, Ummu Haiman berkata, apa yang ditemuinya di di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi menimbulkan persoalan yang amat membimbangkan sehingga menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis di Kajang.

Dia juga mendakwa maklumat berkaitan punca kematian anaknya berubah-ubah dan tidak konsisten, menyebabkannya timbul rasa syak bahawa berlaku unsur kecuaian atau jenayah.

“Terdapat beberapa kecederaan seperti lebam dan luka di badan serta bahu dia.

“Selain itu, hidung anak saya juga berdarah membuak-buak seperti kesan hentakan kuat di kepala.

“Terdapat juga kesan luka dan darah yang banyak di leher seperti kesan ditebuk atau tembakan dan dibalut dengan tebal. Namun, darah yang banyak keluar dari kesan lubang tersebut membasahi balutan di leher dan lapik tilam.

“Mata anak saya juga tidak henti berdarah,” katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

19b7839e5e950a845773ef107d68f655
Ummu Haiman bersama peguamnya, Naran Singh

Mengesyaki anaknya mungkin telah dibunuh, Ummu Haiman menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.

Malaysiakini juga difahamkan Ummu Haiman telah diwakili peguam Naran Singh dan dijadual akan mengadakan sidang medianya di Ipoh, Perak, hari ini.

Nov lalu, seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dilaporkan meninggal dunia semasa menjalani latihan Palapes dan bapanya telah membuat laporan polis.

Polis kemudian berkata tiada kesan kecederaan luaran dikesan dan mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

[Baca berita asal]



Source link