Malaysia Oversight

Lawatan PM Anwar ke China kukuh hubungan strategik dan diplomasi

By TheSun in September 4, 2025 – Reading time 3 minute
Lawatan PM Anwar ke China kukuh hubungan strategik dan diplomasi


BEIJING: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim ke minggu ini mencerminkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam diplomasi berprinsip dan strategik di tengah-tengah landskap dunia yang semakin berpecah dan berubah dengan pantas.

Lawatan kerja empat hari Perdana Menteri yang berakhir hari ini menyaksikan pelbagai pertemuan peringkat tertinggi dengan pemimpin dan tokoh industri , selain sesi interaksi bersama pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Penyertaan julung kali pada SCO adalah atas undangan Presiden Xi Jinping, menjadi fokus utama lawatan berkenaan dan turut mencatat sejarah sebagai kali pertama seorang pemimpin Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN semasa, dijemput menghadiri forum Eurasia peringkat tinggi itu.

Perdana Menteri lantang mengecam keganasan Israel di Gaza.

Berucap di hadapan pemimpin dunia termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, mengkritik badan dunia itu kerana bukan sahaja gagal dalam melaksanakan mandatnya untuk mencegah konflik tetapi juga melindungi golongan rentan.

Kegagalan PBB berbuat demikian menyebabkan rejim Zionis bertindak tanpa rasa takut dan badan dunia itu dilihat tidak lagi mempunyai tekad untuk berubah, sedangkan jurang antara idealisme dan tindakan semakin lebar.

“Antara aspirasi dan realiti wujud satu bayang-bayang. Ia membimbangkan kerana telah menyebabkan ketidakadilan dan membenarkan kekejaman dilakukan tanpa diambil sebarang tindakan,” kata Anwar pada Sidang Kemuncak SCO Plus yang berlangsung di Tianjin pada Isnin.

Anwar turut memberi amaran bahawa kegagalan sistem multilateralisme sedia ada dan kepercayaan yang semakin terhakis dalam sistem antarabangsa telah mengakibatkan dunia tidak mampu menghalang keganasan dan tindakan agresif.

“Kekejaman yang berlaku di depan mata kita di Gaza, Palestin. Pembunuhan kanak-kanak dan bayi tanpa dikenakan sebarang hukuman, manakala komuniti antarabangsa seolah-olah tidak berdaya,” kata beliau.

Di tengah-tengah sistem antarabangsa yang semakin berpecah, Anwar mencadangkan konsep “kebergantungan berdaulat” sebagai langkah membina kembali kepercayaan antara negara dan mengukuhkan kestabilan global.

Perdana Menteri menyifatkan konsep berkenaan sebagai “art of standing tall without standing apart”, iaitu negara-negara mampu kekal sebagai diri sendiri, berdaulat, dan terbuka.

“Kita perlu mencorak kebergantungan yang mampu memperkukuh kedaulatan, bukannya melemahkan.

“Kebergantungan tidak seharusnya menyebabkan negara-negara bimbang autonomi mereka akan menjadi lemah. Ia sepatutnya memberi mereka keyakinan bahawa, dengan berhubung, daya tahan mereka akan berganda,” kata Anwar pada syarahan umum di Universiti Tianjin.

Lawatan berkenaan, yang keempat sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022, menunjukkan kepercayaan mendalam dan hubungan kukuh antara kedua-dua negara sejak terjalin hubungan diplomatik pada 1974.

Semasa lawatan ke ibu negara China, Anwar turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Xi di Great Hall of the People.

Susulan pertemuan itu, Anwar berkata Xi menyatakan sokongan penuh beliau terhadap penyertaan Malaysia dalam BRICS.

“Ini satu penghormatan besar dan tanda sokongan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Malaysia kini adalah rakan kepada organisasi itu yang dianggotai 11 negara.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Li Qiang dan diraikan pada majlis makan malam di Rumah Tamu Negara Diaoyutai

Diplomasi ekonomi turut menjadi antara teras utama dalam lawatan rasmi Anwar ke luar negara, dengan beliau giat mempromosikan dan menonjolkan Malaysia sebagai hab serantau bernilai tinggi bagi syarikat-syarikat antarabangsa.

Dalam dialog perniagaan bersama 120 pelabur dan syarikat dari China di Beijing, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengetengahkan dasar ekonomi Malaysia yang kukuh, infrastruktur strategik serta persekitaran yang stabil sebagai faktor utama yang menjadikan negara ini pilihan sesuai untuk pelaburan jangka panjang.

Beliau berkata hubungan rapat antara Kuala Lumpur dan Beijing yang kini berada pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), turut menjadi faktor mendorong syarikat-syarikat China memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan perdagangan dua hala bernilai RM484.12 bilion pada 2024 yang mewakili 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mengiringi beliau dalam lawatan itu berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 1.58 tengah hari selepas menyertai perarakan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua di Dataran Tiananmen dan jamuan rasmi dianjurkan Presiden China pada Rabu. – BERNAMA



Source link