PARLIMEN | Wakil kerajaan dan pembangkang bersetuju menutup polemik berhubung latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melibatkan Masjid Rusila di Marang, Terengganu.
Penyelesaian yang kelihatan harmoni itu dicapai selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan lengkap mengenai insiden berkenaan, sebelum Ketua Whip Pembangkang, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyatakan kesediaan untuk menganggap isu itu sebagai “selesai”.
Sebelum persefahaman itu dicapai, Saifuddin sekali lagi menegaskan latihan tersebut bukan serbuan atau serangan, sambil memaklumkan polis telah menemui kakitangan presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN-Marang) untuk menjelaskan perkara sebenar.
Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa pertemuan itu diadakan selepas pihak jawatankuasa masjid membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

“Pada hari itu sedang lakukan survival evasion resistance and escape. Ada elemen mereka kena mengelak, elak daripada jurulatih, kalau kena tangkap fail lah tak boleh jadi komando, ataupun ada elemen penyamaran, mereka kena menyamar.
“Latihan 16 ke 20 September, ada bagit ahu polis, mula di Kuala Berang, berhenti di terminal bas, pasar, macam-macam, termasuk masjid.
“Kalau program itu modulnya ada elemen penyamaran, tak boleh hebah, tak boleh bagitahu RTN ka TV3 ka sidang media pun tak boleh, kalau bagi tahu maka tak tercapai lah tujuan latihan itu.
“Bila sampai masjid singgah sembahyang Asar, kalau tengok CCTV nampak mereka macam berlari-lari, untuk segera pergi motokar, tujuan nak elak dikesan jurulatih, sepintas lalu nampak curiga lah. Tapi nak kata serbuan dan serangan tidaklah sama sekali,” jelas Saifuddin ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2026.

Katanya, walaupun polis dimaklumkan tentang latihan itu, sifat latihan tersebut tidak membolehkan butirannya disebarkan secara terbuka kerana ia akan menjejaskan objektif latihan.
Dia mengakui tindakan anggota APMM mungkin kelihatan “mencurigakan” dan mencetuskan “reaksi” daripada pihak masjid namun menegaskan dakwaan ia serbuan atau serangan “tidak benar sama sekali” kerana polis segera memberi penjelasan kepada pihak terlibat.
Saifuddin turut mendedahkan Adun Batu Buruk dan kakitangan pejabat Ahli Parlimen Marang menerima penjelasan bahawa latihan tersebut merupakan kursus yang “perlu dan wajar”.
Namun, dia melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang kemudian “memutar belit” isu berkenaan.

“Gambaran seolah-olah satu serbuan, serangan, sangat emotive nadanya, adakah ini latihan untuk bunuh watak-watak tertentu, dia jadi mcm tu.
“Ada kewajaran tengok secara lapang, tak perlu nampak sampai exaggerate sampai berlebihan,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin mendakwa APMM menjalankan latihan di Masjid Rusila — tindakan yang disamakan beliau dengan insiden Memali 1985, tragedi yang berlaku apabila polis cuba menangkap pemimpin PAS, Ibrahim Mahmood dan pengikutnya.
Setiausaha agung PAS itu juga mempersoalkan sama ada latihan di masjid berhampiran rumah Hadi itu menunjukkan seolah-olah wujud operasi untuk menyasarkan presiden parti itu.

Ketika mencelah ucapan Saifuddin hari ini, Takiyuddin menjelaskan dia hanya menjadikan insiden Masjid Rusila sebagai contoh untuk bertanya tentang tatacara operasi standard (SOP) agensi penguatkuasaan kerajaan apabila menjalankan latihan.
Katanya, soalan itu tidak berniat jahat kerana beliau hanya menyuarakan kebimbangan pengundi di Marang yang menganggap Masjid Rusila sebagai tempat sensitif bagi sebarang aktiviti sedemikian.
“Tidak ada langsung niat kami untuk salahkan pegawai-pegawai kerajaan apatah lagi anggota-anggota keselamatan.
“Cuma minta lain kali boleh elakkan, walaupun kami pihak pembangkang, asalkan berdasarkan undang-undang, surat kepada pihak-pihak tertentu menjelaskan perkara ini, pokoknya latihan berlaku di situ, tak dapat dielakkan lagi,” katanya.

Takiyuddin yang menyifatkan Saifuddin sebagai rakan kemudian berkata: “Saya tidak ada masalah, kira selesai, done deal, tidak ada masalah kita dua.”
Pun begitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan (PH) dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim (PN) sempah bertingkah, sebelum Saifuddin kemudian merakamkan penghargaan kepada Takiyuddin kerana memilih untuk menamatkan pertikaian itu.
“Saya lapang saya ucap terima kasih KB, asalkan kita boleh pahami faktanya begitu,” kata menteri dalam negeri.
Laporan dibawakan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali.






