Malaysia Oversight

Larangan kuil baru di Perak: Diskriminasi terselindung?

By MkiniBM in June 7, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Negeri Perak dikritik susulan keputusan untuk tidak meluluskan sebarang permohonan pembinaan kuil baru di atas tanah bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Presiden Parti Makkal Sakthi, RS Thanenthiran menyifatkan keputusan tersebut sebagai amat mengecewakan.

“Apakah mesej yang ingin disampaikan menerusi pekeliling ini? Adakah agama dan budaya kami tidak lagi diberi tempat dalam pembangunan negeri? Adakah sumbangan masyarakat India terhadap negeri ini boleh diketepikan begitu sahaja?

788795db9eb514a7be2ca763c22c4b31
RS Thanenthiran

“Saya ingin tegaskan bahawa kuil bukan sekadar struktur fizikal. Ia adalah simbol kepercayaan, pusat komuniti, serta warisan budaya,” katanya.

Thanenthiran turut menjelaskan ramai tidak menyedari banyak kuil yang kini terletak di atas tanah telah wujud sejak zaman penjajahan British.

Menurutnya, kuil berkenaan dibina oleh komuniti pekerja ladang dengan kebenaran rasmi daripada pihak kolonial ketika itu, bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rohani masyarakat.

“Kita tidak boleh mengklasifikasikan semua kuil ini sebagai ‘tidak sah’ atau ‘struktur haram’ hanya kerana tiada dokumen rasmi.

“Isu ini tidak boleh dinilai semata-mata dari sudut undang-undang tanah, tetapi perlu dilihat dengan sensitiviti sejarah, budaya, dan peranan sosial kuil dalam masyarakat ,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri perlu segera menarik balik keputusan tersebut dan mencadangkan agar:

  • Satu pelan tindakan jangka panjang diwujudkan untuk menyemak status kuil-kuil yang telah lama berada di atas tanah kerajaan, dengan tujuan untuk memberi pengiktirafan rasmi dan penyelesaian sah.

  • Sesi libat urus secara terbuka dan telus diadakan bersama wakil masyarakat Hindu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar warisan, sebelum sebarang dasar diperkenalkan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Terdahulu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A Sivanesan (gambar bawah) berkata kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk melarang pembinaan kuil Hindu baru di atas tanah kerajaan selama lima tahun.

efda8f2d18df58f1c962a5c920d5334a

Jelasnya, perkara itu telah diputuskan menerusi Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil. 3/2025 yang memberi panduan kepada pentadbir tanah berhubung dasar bagi Kaedah Pengurusan, Pelupusan dan Penguatkuasaan kawasan Rumah Ibadat Hindu (kuil) dan Tapak Perkuburan Hindu.

Menurut Sivanesan, Perak negeri pertama yang mengeluarkan pekeliling tersebut yang turut menyatakan walaupun kuil hendak dibina di atas tanah persendirian, ia tetap memerlukan kebenaran kerajaan.

“Kerajaan negeri tidak akan meluluskan apa-apa permohonan kuil baru sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sesiapa yang mahu membina juga boleh membeli tanah sendiri dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi jika ia melibatkan tanah kerajaan, tindakan serta-merta akan diambil,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Hindu Negeri di Bangunan Sri Perak pada Khamis.

7a19342f075894a9ae4a05aa5c6b1819
Gambar hiasan.

“Sekiranya boleh dipindahkan, kita pindahkan.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan untuk terus merobohkan kuil sedia ada kerana negara kita mempunyai kepelbagaian kaum dan toleransi adalah penting dalam menyelesaikan masalah sensitif melalui permuafakatan,” katanya lagi.

Sivanesan juga berkata Perak mempunyai sekitar 480 kuil yang berdaftar dan jumlah itu melebihi bilangan tokong dan gereja.

Jelasnya, kebanyakan kuil ini dibina pada masa dahulu dengan kebenaran daripada Jabatan Penguatkuasaan, bukan secara haram seperti yang sering disalah tafsirkan.

5f56d413e138c2e0a8c3c193e6623a2e

Sementara itu, Naib Presiden , T Murugiah (gambar atas) menyelar kenyataan Sivanesan sebagai tidak sensitif malah bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat Malaysia.

“Mengapa sekatan ini hanya disasarkan kepada kuil Hindu? Adakah dasar ini turut terpakai kepada rumah ibadat agama lain seperti masjid, gereja atau tokong Cina?

“Apa yang akan berlaku kepada kuil Hindu yang telah wujud sejak beberapa dekad di atas tanah kerajaan? Adakah kerajaan negeri bercadang untuk merobohkannya?

“Adakah keputusan dasar ini dibuat melalui proses perundingan dan dialog dengan ketua-ketua masyarakat dan pertubuhan agama Hindu?

“Sikap tidak hormat dan diskriminasi terhadap agama Hindu seperti ini tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada pemimpin kerajaan yang diamanahkan untuk melindungi semua rakyat tanpa mengira kaum atau kepercayaan,” tegasnya pada satu kenyataan hari ini.

Dia turut mendesak kerajaan Perak untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan komitmen dalam melayan semua agama secara adil dan saksama, seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.



Source link