PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keutamaannya ialah untuk memastikan alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.
Dia menegaskan langkah itu bukan untuk menyekat hak orang bukan Islam, tetapi untuk memartabatkan sekolah sebagai tempat pendidikan untuk kanak-kanak.
“Saya percaya di kalangan rakan-rakan saya di sini ada juga melahirkan kebimbangan, nampak kita nak memaksa nilai dan pandangan Islam, tetapi ini bukan maksud saya begitu.
“Maksud saya ialah melihat konsep dan falsafah pendidikan, apakah pendidikan ini sekadar menimba ilmu, kecanggihan ilmu, kepintaran ilmu, ataupun membina, membentuk manusia, nilai manusiawi.
“Kalau nilai manusia saya percaya kita ada konsensus, ada diboleh-bolehkan, ada yang harus dilarang. Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta seperti itu termasuk pesta-pesta kerajaan sama ada selepas atau sebelum, seperti berlaku baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar merujuk kepada hidangan arak pada perhimpunan alumni yang diadakan di St Michael’s Institution di Ipoh baru-baru ini.
Isu itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shari (PN-Pasir Mas) dalam soalan kepada perdana menteri.
Anwar berkata prinsip melarang arak dan perjudian di kawasan sekolah boleh dikuatkuasakan di sekolah awam, dengan mengakui bahawa kerajaan mempunyai kuasa terhad ke atas sekolah swasta.
“Itu ada masalah sedikit. Ada lihat bagaimana, setakat mana had bidang kuasa kerajaan. Tetapi kalau sekolah milik kerajaan, saya tak fikir kita harus melanggar prinsip-prinsip ini,” katanya.
Menurut laporan Focus Malaysia, Old Michaelian’s Association mengadakan Jamuan Perjumpaan Tahunan ke-90 2025, yang dihadiri hampir 800 alumni.
Dalam satu kenyataan sejurus selepas itu, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) menyelar acara itu dengan menyebutnya sebagai “pesta arak”.
Dia menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membenarkan perkara itu berlaku.
Sementara itu, Anwar berkata Kementerian Pendidikan sedang meneliti peraturannya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah membawa perkara itu kepada perhatiannya, berkata peraturan mengenainya perlu diperketatkan.
“Walaupun dikatakan ini disewa oleh badan bebas, umpamanya, dan ada arak, ada perjudian – ini bukan mendidik anak-anak.
“Ia melanggar konsep dan falsafah pendidikan kita sendiri,” katanya.
*Laporan oleh Zarrah Morden, Alyaa Alhadjri, Shakira Buang






