Seorang pengarah Meta memberi amaran terhadap cadangan larangan penggunaan media sosial bagi remaja, dengan menyatakan langkah itu boleh membawa kesan sebaliknya apabila mendorong golongan muda ke platform lain yang lebih berisiko.
Pengarah dasar awam Meta bagi Asia Tenggara, Rafael Frankel berkata usaha melindungi keselamatan remaja dalam talian tidak seharusnya terhad kepada media sosial semata-mata, tetapi perlu meliputi keseluruhan ekosistem digital termasuk permainan video, platform penstriman, dan aplikasi pendidikan.
“Jika anda melarang media sosial untuk remaja, ke mana mereka akan pergi? Mereka akan beralih ke platform permainan yang jauh kurang selamat dan mempunyai kawalan yang lebih lemah. Mereka tidak akan terus berhenti berada dalam talian,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times hari ini.
“Mereka akan pergi ke platform lain yang tidak dikawal dengan baik, yang tiada ciri keselamatan, di mana orang yang tidak dikenali — termasuk orang dewasa — boleh menghubungi mereka dan mengadakan perbualan tidak selamat tanpa kawalan ibu bapa.

“Bagaimana itu boleh membawa hasil yang lebih baik untuk anak-anak kita,” soalnya ketika ditemui pemberita di sela-sela Dialog Digital Amerika Syarikat–Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Meta syarikat induk kepada platform media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Sebelum ini, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil memaklumkan kabinet sedang meneliti cadangan untuk menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun, berbanding 13 tahun yang dicadangkan sebelum ini, bagi menangani isu sosial dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri komunikasi itu turut berkata Putrajaya sedang mengkaji keperluan dan mekanisme untuk mewajibkan akaun media sosial didaftarkan menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigitalID, atau pasport.

Sebelum itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mendedahkan cadangan kabinet untuk mengharamkan penggunaan telefon pintar bagi remaja bawah 16 tahun sebagai langkah mengekang peningkatan kes keganasan di sekolah.






