Laporan Kemalangan Kecil Boleh Dibuat Secara Atas Talian Mulai 1 September 2025
Amy Maizuraa
Mulai 1 September 2025, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melaksanakan inisiatif e-Police Reporting bersama Bank Negara Malaysia. Ini membolehkan orang awam melaporkan kemalangan secara atas talian tanpa perlu hadir ke balai polis berhampiran.

Projek perintis ini akan dijalankan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan hanya melibatkan kemalangan kecil. Ia juga tertumpu kepada kenderaan persendirian yang terlibat tanpa sebarang kecederaan, serta tiada kerosakan pada kenderaan lain atau harta awam.

Inisiatif ini memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya khususnya mereka yang mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke kampung. PDRM menggabungkan kepakaran siasatan trafik dengan fungsi kawal selia kewangan Bank Negara Malaysia bagi mempercepat proses tuntutan insurans.

Bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, PDRM turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Kawalan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) pula mewakili industri insurans am dan takaful yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini.
Jika projek ini berjaya, PDRM akan memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna jalan raya.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.