SPRM menjangkakan laporan forensik berhubung video dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah berkaitan isu pelesenan lombong mineral dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata ketika ini, pihaknya sedang melakukan penelitian rapi terhadap semua 10 klip video terbabit.
“Laporan forensik babitkan 10 rakaman Adun Sabah itu sudah ada. Saya jangka dalam seminggu lagi akan keluar laporan.
“Semua pihak bertanya kenapa lambat dan sebagainya, saya sendiri tidak mahu berlaku kelewatan.
“Ia memerlukan sedikit masa kerana bukan hanya ada satu tetapi 10 video,” katanya pada persidangan antirasuah Asia Tenggara di Putrajaya, hari ini.
Azam berkata, SPRM memerlukan masa kerana siasatan yang dijalankan mesti dilakukan dengan adil.
“(Jika tidak) nanti akan ada pihak-pihak mempertikaikan pula dan mempersoalkan adakah ini satu siasatan forensik yang adil dan sebagainya, jadi kita kena buat cara elok,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini mendedahkan beberapa rakaman video yang memaparkan beberapa Adun Sabah didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Dalam video-video itu, seorang pemberi maklumat yang merupakan seorang ahli perniagaan turut mendakwa ahli politik berkenaan menuntut untuk dilantik sebagai pemegang saham melalui pengaturan proksi bagi menyembunyikan penglibatan mereka.
Sejak November lalu, ahli perniagaan ini telah mendedahkan sekumpulan video yang dirakam secara rahsia mengenai pertemuannya dengan Adun, bersama dengan mesej WhatsApp yang mendedahkan urus niaga yang didakwa itu.
Pada 22 April lalu, Azam berkata, laporan forensik mengenai video-video tersebut masih belum siap dan dia memberi jaminan ia dijangka akan siap tidak lama lagi.
Semalam, pembocor maklumat itu memaklumkan bahawa dia sedang mempersiapkan lebih banyak ‘bukti menjahanamkan’ untuk diserahkan kepada SPRM.
Menurut jemputan akhbar yang dikeluarkan oleh peguamnya, Mahajoth Singh, ahli perniagaan berusia 36 tahun itu akan menyerahkan bukti baru kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 3.30 petang hari ini.
Malaysiakini difahamkan bukti tersebut – setebal kira-kira 200 halaman – dengan teliti memperinci jejak wang dan dokumen yang menjadi inti pati skandal ini.
Sumber-sumber menyatakan dokumen tersebut juga mendedahkan pelantikan proksi sebagai pemegang saham dalam syarikat-syarikat yang memohon lesen penerokaan mineral.