LANGKAWI: Langkawi terus menjadi destinasi utama pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya etnik Rohingya dari Myanmar, meskipun kawalan dan penguatkuasaan di sempadan perairan sentiasa diperketat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia sememangnya menjadi lokasi pilihan PATI untuk tinggal selepas mereka diusir dari kampung di Myanmar atau lari dari kem pelarian.
“Data Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sahaja sepanjang mereka buat pengawasan di perairan langkawi ini sejak 2010 hingga 2025 sudah hampir 2,300 individu ditahan di perairan Langkawi.
“Jadi kesimpulannya adalah Langkawi satu daripada kawasan (laluan pilihan) kerana lokasi yang sangat strategik dan dekat, kalau dengan daratan terdekat sebelah Thailand cuma empat atau lima batu nautika sahaja,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan insiden bot karam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.
Menurut Saifuddin, situasi itu tidak boleh dianggap terpencil kerana ia melibatkan ekosistem yang menjadi penyebab atau punca kepada tindakan PATI meninggalkan negara asal mereka.
“Kalau di negara jiran kita ada ketidakstabilan, ada isu daripada segi humanitarian challenges (cabaran kemanusiaan) maka akan wujud push factor (faktor penolak), jadi mereka yang terlibat akan memilih untuk keluar dari situ,” katanya.
Mengulas kejadian bot karam di perairan Thailand berhampiran Langkawi Sabtu lalu, beliau berkata, Malaysia diyakini menjadi destinasi akhir bagi imigran terlibat.
Saifuddin berkata, berdasarkan maklumat awal diperoleh daripada mangsa-mangsa yang terselamat, semuanya konsisten menyatakan bahawa mereka membayar sejumlah wang kepada pihak dipercayai sindiket untuk datang ke negara ini.
“Setakat ini semua (mangsa) dari Myanmar, ada yang dari kampung yang mereka diusir dan ada dari kem-kem pelarian yang mereka ditempatkan, memilih Malaysia sebagai destinasi terakhir mereka. Mereka sanggup untuk berada dalam pelayaran yang sangat berbahaya terutama dalam keadaan monsun ketika ini,” katanya.
Ujarnya, polis masih menyiasat sama ada insiden tersebut melibatkan sindiket, jenayah terancang serta aktiviti pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah operasi mencari dan menyelamat mangsa yang akan diteruskan untuk satu tempoh yang munasabah sehingga diumumkan penamatannya.
Mengenai keselamatan dan pemantauan perairan negara, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia terus diberi tumpuan terutama daripada segi penambahan aset untuk mengukuhkan peranannya.
“Maritim Malaysia antara agensi tumpuan saya sepanjang berada di kementerian, mereka minta helikopter, kita bagi helikopter, empat helikopter dari Itali akan sampai tahun ini.
“Kapal kita bagi dua, satu dalam pembinaan, offshore patrol vessels, satu dah siap, dua lagi sedang dalam perolehan, itu semua tak termasuk bot, dron dan radar, kesemuanya itu adalah usaha berterusan,” katanya. – UTUSAN




