Percubaan kerajaan untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan Turun Anwar Sabtu ini hanya akan memakan diri, kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.
Dalam kenyataan hari ini, Arutchelvan membidas amaran kerajaan terhadap penjawat awam yang ingin menyertai protes tersebut, dan menyamakannya dengan tindakan keras semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad terhadap demonstrasi antikerajaan.
Arutchelvan yang lebih dikenali sebagai Arul berkata, sejarah telah menunjukkan bahawa sebarang usaha untuk menekan penunjuk perasaan hanya akan meningkatkan lagi sokongan terhadap perjuangan mereka — seperti yang berlaku dalam gerakan reformasi dan himpunan Bersih sebelum ini.
“Sudah lama kita tidak melihat serangan ala Mahathir terhadap kebebasan awam — amaran, FRU, meriam air dan tangkapan.
“Sekarang perlahan-lahan semuanya mula kembali. Untuk himpunan 26 Julai ini, Ketua Setiausaha Negara telah keluarkan amaran.
“Kini Jabatan Peguam Negara (AGC) juga keluarkan amaran. Selepas ni, universiti pula mungkin akan keluarkan amaran yang sama. Seterusnya kita akan lihat Ketua Polis Negara pula keluarkan amaran dan isytiharkan perhimpunan ini sebagai haram.
“Jangan terkejut, jila anda cuba tekan rakyat, yang tak nak turun pun boleh turun ke jalan raya,” kata Arul lagi.
Pada Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar memberi peringatan kepada penjawat awam agar tidak menyertai himpunan Sabtu ini.
Dia berkata tidak wajar bagi penjawat awam untuk menyertai perhimpunan seperti itu kerana ia tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.
Kenyataan itu bagaimanapun menerima kritikan keras daripada para aktivis, termasuk Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek, yang menyifatkannya sebagai “tidak sah di sisi undang-undang” dan “langkah terdesak” oleh kerajaan.
Zaid juga menggesa penjawat awam supaya mengabaikan amaran Shamsul Azri dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk memberikan bantuan undang-undang kepada mereka jika dikenakan tindakan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) turut mengeluarkan peringatan yang sama kepada penjawat awam, dengan menyatakan hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin perlembagaan adalah tidak mutlak.
AGC berkata setiap penjawat awam tertakluk kepada surat aku janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.