Malaysia Oversight

Ladang babi di Melaka wajib tertutup, bebas penyakit

By MkiniBM in April 29, 2025 – Reading time 1 minute
Ladang babi di Melaka wajib tertutup, bebas penyakit


Penternak ladang ternakan di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru di Melaka, perlu mematuhi dua syarat ketat yang ditetapkan sekiranya mahu meneruskan semula operasi ladang tersebut.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata syarat utama ialah operasi ladang penternakan berkenaan, mesti dilakukan secara tertutup dan bukannya secara konvensional seperti dahulu.

Beliau berkata syarat lain ialah yang ingin dibawa masuk daripada luar Melaka ke ladang terlibat, perlu mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada sebarang penyakit.

“Jika penternak boleh mematuhi syarat yang ditetapkan itu, negeri tiada halangan untuk membenarkan ladang mereka beroperasi semula.

“Kita telah mengadakan perjumpaan dengan penternak ladang babi di kawasan berkenaan dan mereka sedia maklum dengan syarat yang telah ditetapkan itu,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang kertas kerja daripada penternak sedia ada, berkaitan pembinaan ladang tertutup untuk kebenaran beroperasi semula.

Pada Jan 2022, media melaporkan negeri Melaka bersetuju mewartakan 35 ladang ternakan babi di Paya Mengkuang sebagai kawasan wabak dan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pewartaan itu adalah bagi mengawal penularan penyakit ASF daripada merebak, namun tiada tempoh khusus ditetapkan.

– Bernama



Source link