Malaysia Oversight

KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan

By TheSun in September 8, 2025 – Reading time 1 minute
KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berusaha membina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan menerusi empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan pengeluaran tersebut melibatkan 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

“Oleh itu, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbi Muda yang ingin mengetahui sama ada pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.

Amir Hamzah berkata juga tidak berhasrat memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak semula.

Struktur baru KWSP kini mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 dengan Akaun 3 bersifat fleksibel bagi pengeluaran untuk kecemasan.

Katanya KWSP juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan untuk ahli baharu.

Skim ini dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala pencarum sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada skim tersebut.

“Skim ini masih dalam penelitian dan akan diluluskan mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi,” jelasnya.

Pencarum sedia ada mempunyai pilihan untuk berganjak kepada skim bayaran bulanan ini jika dilaksanakan kelak. – Bernama



Source link