Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) telah menamatkan kempen sebulan mereka untuk mengumpul dana bagi memfailkan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini susulan lonjakan sumbangan selepas mereka mengeluarkan rayuan awam semalam untuk mendapatkan sokongan tambahan, yang menyaksikan kutipan melebihi dua kali ganda sasaran asal sebanyak RM50,000.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan padu terhadap inisiatif crowdfunding ini dan mengumumkan bahawa kempen kini ditutup.
“Baki dana akan digunakan untuk forum-forum awam dan acara tahunan memperingati mendiang,” menurut kenyataan persatuan itu hari ini.
Kempen kutipan sumbangan ini bertujuan mengumpul dana untuk membolehkan kakak mendiang Teoh, Teoh Lee Lan, membawa aduan ke PBB dan mengemukakannya kepada Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia.
Selepas dilancarkan pada 22 Jun lalu, kempen tersebut hanya berjaya mengumpul RM39,075 (selepas ditolak perbelanjaan) setakat 30 Julai — iaitu RM10,925 kurang daripada sasaran.
Situasi ini mendorong TBH-ADA untuk membuat rayuan semalam agar orang ramai terus menyokong usaha mereka.
Dalam kenyataannya hari ini, kumpulan itu berkata mereka menerima sumbangan berjumlah RM83,302 dalam tempoh 24 jam selepas rayuan dibuat. Jumlah ini melebihi dua kali ganda kutipan sepanjang sebulan kempen sebelum itu.
“Ini bermakna persatuan kini telah berjaya mengumpul keseluruhan RM122,377 untuk menghantar Teoh Lee Lan memfailkan aduan berkenaan kes Teoh Beng Hock kepada Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia,” kata TBH-ADA.
Jumlah akhir ini adalah 2.4 kali ganda (RM72,377) melebihi sasaran asal RM50,000.
Teoh Beng Hock, yang merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada tahun 2009 selepas disoal siasat semalaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang ketika itu beribu pejabat di Plaza Masalam, Shah Alam.
Satu suruhanjaya diraja pada 2011 memutuskan bahawa beliau didorong untuk membunuh diri akibat teknik soal siasat yang agresif.
Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian mendiang disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan salah, termasuk oleh pegawai SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis untuk menyelesaikan siasatan berkenaan kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji kepada keluarga mendiang bahawa kes itu akan disiasat secara menyeluruh.
Namun, Jabatan Peguam Negara pada Mei lalu mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Keluarga Teoh tetap bertegas mendesak pihak berkuasa agar membuka semula kes ini sebagai siasatan pembunuhan dan melantik pakar antarabangsa untuk turut serta dalam siasatan tersebut.