Malaysia Oversight

Kuota Bumiputera di Kuala Lumpur akan ditingkatkan

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Kuota Bumiputera di Kuala Lumpur akan ditingkatkan


PARLIMEN | akan meningkatkan penetapan peratusan kuota Bumiputera di Kuala Lumpur, bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL20240).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu adalah untuk memastikan pengekalan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.

“Penetapan peratusan kuota bumiputera telah dipertingkatkan semenjak tahun 2023 kepada minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan minimum 70 peratus bagi projek atau usahasama.

“Kuota ini telah ditetapkan ke atas semua kelulusan perancangan tanpa mengambil kira lokasi yang tertakluk kepada bentuk pembangunan. 

“Bagi Rizab Melayu pula, pematuhan pemilikan sepenuhnya 100 peratus mestilah kepada kaum Melayu tanpa sebarang kompromi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Zaliha menjawab soalan Ahli parlimen Zulkifli Ismail (Jasin-PN) yang meminta jumlah keluasan penempatan tradisi Melayu dan Rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan; dan pelan jangka panjang bagi mengekalkan identiti, pemilikan dan kesinambungan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.

Zaliha berkata Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi kaum Melayu dan Bumiputera di Kuala Lumpur supaya tidak kurang daripada 40 peratus. 

“Antara strategi yang sedang diterokai adalah bagi setiap pembangunan di Tanah Rizab Melayu dan juga tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) di Wilayah Persekutuan, komponen rumah mampu milik Melayu, kedai mampu milik Melayu, dan perindustrian ringan mampu milik Melayu akan diperkenalkan,” katanya.

Katanya, cadangan ini masih di peringkat awal kajian, dan perlu dirujuk kepada kelulusan jemaah menteri.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Zulkifli berhubung isu pengambilan tanah khususnya Kampung Sungai Baru, Zaliha berjanji kementeriannya akan menerima pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung nasib orang Melayu di Kuala Lumpur.

“Sudah tentu libat urus kita mendengar suara semula akan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Contohnya di Kuala Lumpur, apabila kita sebelum kita wartakan PTKL2040 ia menjadi keperluan kita mengadakan pendengaran awam.

“Untuk PTKL2040, kita menerima 28 ribu respons, dari orang awam dan pihak kepentingan, apabila kita melaksanakan pembangunan maka kita terima pandangan orang ramai,” katanya.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur yang merangkumi rumah teres dan flat mencuri perhatian apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.

Zaliha, sebelum ini menjelaskan di parlimen, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.

Sebahagian penduduk yang enggan berpindah sebelum ini juga menegaskan bahawa ia bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.

Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar



Source link