Federasi Pemuda Nasional (Federasi) mengecam Universiti Malaya (UM) kerana didakwa menghalang penganjuran himpunan pro-Palestin di kampus.
Federasi mendakwa penganjur demonstrasi berkenaan berdepan ugutan dan intimidasi daripada pentadbiran universiti dan apabila himpunan itu tetap diteruskan, kumpulan berkenaan diusir keluar dari kawasan kampus lalu mengadakan protes di pintu masuk UM.
“(Seolah-olah) suara kemanusiaan tidak mempunyai tempat di institusi pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Federasi, protes anjuran Liga Mahasiswa UM itu sepatutnya berlangsung di Dewan Tuanku Canselor hari ini sebagai sebahagian daripada kempen solidariti untuk rakyat Palestin dan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang masih ditahan pihak berkuasa Israel.
Namun, mereka dihubungi pihak pentadbiran universiti pada tengah malam untuk satu “mesyuarat” apabila mereka didakwa diugut dengan tindakan tatatertib.
“Mahasiswa dipaksa membatalkan perhimpunan, diugut dengan tindakan tatatertib di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), malah diberi amaran bahawa pihak universiti sendiri akan melaporkan mereka kepada polis,” dakwa Federasi.
Federasi turut menggesa UM menarik balik ugutan terhadap penganjur, mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan pendirian jelas berhubung isu tersebut, serta memperbaharui tuntutan pemansuhan Auku yang menurut mereka mengekang kebebasan bersuara mahasiswa.
Sebagai maklum balas, UM menafikan pihaknya menghalang acara solidariti berkenaan, sebaliknya hanya “menasihati” penganjur supaya menjadualkan semula himpunan berkenaan.
Langkah itu, jelas UM, bagi memastikan kelancaran minggu orientasi yang turut diadakan di Dewan Tuanku Canselor dan kawasan sekitarnya.
UM menegaskan ia menghormati hak mahasiswa untuk menyuarakan pandangan namun semua aktiviti di kampus perlu mematuhi peraturan universiti.
Pihak universiti menegaskan turut bersolidariti bersama rakyat Palestin dan berhasrat mempromosikan keamanan global melalui pendidikan, penyelidikan dan dialog.
GSF melibatkan lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar menuju Gaza sebagai tanda solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, di samping menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Israel dilaporkan telah menahan lebih 450 aktivis yang cuba memecahkan sekatan laut ke atas Gaza, dengan sekurang-kurangnya 170 daripada mereka kini sudah dihantar pulang.






