Malaysia Oversight

Kumpulan pelajar Sabah umum himpunan pada 21, 22 Jun

By MkiniBM in May 18, 2025 – Reading time 2 minute
Kumpulan pelajar Sabah umum himpunan pada 21, 22 Jun


Pergerakan pelajar Sabah mengumumkan akan mengadakan perhimpunan membantah krisis air yang berterusan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), pelantikan yang kontroversi, dan beberapa isu lain.

Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 (Perhimpunan Aman Menentang Rasuah Sabah 2.0) ditetapkan pada 21 dan 22 Jun ini.

Pada sidang media semalam, kumpulan Suara Mahasiswa UMS yang diketuai oleh Fadhil Kasim berkata mereka sudah tidak akan berdiam diri lagi ketika rakyat Sabah terus menderita.

“Sabah terus dibelunggu oleh kerakusan kuasa di kalangan pemimpin dan kebobrokan sistem yang membenarkan rasuah bermaharajalela tanpa gentar kepada undang-undang.

“Kami, gerakan mahasiswa dan rakyat Sabah bangkit sekali lagi melalui Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun 2025 bertempat di Kota Kinabalu.

“Ini bukan sekadar perhimpunan. Ini adalah amaran keras kepada mereka yang menghancurkan negeri ini, demi kekayaan peribadi. Kami membawa tuntutan yang jelas dan tidak akan dikompromi,” kata Fadhil.

Tuntutan pertama kumpulan itu adalah supaya UMS memulakan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Mereka menyifatkan krisis air di UMS sebagai penghinaan terhadap hak asasi manusia.

“Isu air di UMS bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada universiti, malah kepada mahasiswa. Ada mahasiswa yang terpaksa mandi menggunakan air mineral. Ada yang terpaksa menyewa hotel untuk membersihkan diri, dan ada yang terpaksa habiskan wang, demi menampung kegagalan JANS.

“Ribuan ringgit dibakar kerana kecuaian mereka (JANS) dan sampai hari ini tiada satu pihak pun yang bertanggungjawab,” tambah mereka.

Persoal pelantikan semula Azam

Kumpulan itu juga menggesa pengasingan sepenuhnya kuasa dalam proses pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Pelantikan semula Azam Baki yang terpalit skandal saham adalah simbol sistem yang sakit. Malaysia ada 35 juta rakyat. Mengapa indidvidu yang sama, penuh kontroversi diangkat semula?” soal mereka.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan kepada pelantikan semula Azam menerajui suruhanjaya antirasuah itu.

Azam, 62, memegang jawatan itu sejak 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya, dan pernah dilantik semula pada Mei 2023 dan Mei 2024.

Pada penghujung 2021, Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu. Pegangan sahamnya dalam Gets Global turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016. Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan 2022, Azam tidak menafikan pemilikan saham tersebut tetapi mendakwa ia dibeli atas namanya oleh abangnya. Saham itu telah dipindahkan kepada abangnya.

Hampir seminggu kemudian, pada 18 Jan, Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap kes itu dan ia tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) telah berlaku.

Bagaimanapun, berikutan kritikan, SC menjelaskan bahawa Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri dan tidak menemui bukti perdagangan proksi.

[Baca laporan penuh]



Source link