Kumpulan pelajar Sabah menggesa reformasi sekolah berasrama agar menjadi lebih berkesan dalam mengurangkan isu buli, susulan kematian tragis Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menyatakan “tahap solidariti tertinggi” dengan keluarga remaja itu.
“Kejadian ini bukan sahaja meninggalkan duka yang serius kepada keluarga, malah menjadi indikasi jelas akan permasalahan serius buli dalam institusi pendidikan kita yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
“Kami menggesa siasatan jujur dan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar kebenaran dapat didedahkan tanpa sebarang campur tangan, demi keadilan untuk arwah Zara dan keluarganya.
“Reformasi sistem pendidikan berasrama agar lebih berkesan dalam menangani isu buli, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), perlindungan pengadu dan pemberi maklumat serta program pendidikan kesedaran buli yang menyeluruh,” kata kumpulan itu.
Semalam, dilaporkan beberapa ahli parlimen telah membangkitkan kes kematian Zara ketika membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.
Mereka menuntut pihak berkuasa menangani persoalan mengenai kematian pelajar itu, yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan, jenazah pelajar Tingkatan Satu yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah di Papar, Sabah, dijangka digali untuk bedah siasat.
Laporan itu memetik ibu Zara, Noraidah Lamat, 45, telah mengarahkan peguam untuk memulakan langkah undang-undang yang diperlukan.
Noraidah berkata dia tidak pernah dinasihatkan untuk meminta bedah siasat semasa pengebumian. Zara yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu dikebumikan pada malam yang sama.
“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya, Zara Qairina Mahathir, 13, sejak 14 hari lalu bernoktah,” kata ibu itu, apabila dakwaan buli dibangkitkan.
Awal hari ini, bekas menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah berkata dia juga telah membangkitkan isu bedah siasat dengan peguam keluarga itu.
Ahli parlimen Perikatan Nasional (PN), yang menyelia portfolio pendidikan gabungan itu, berkata dia telah menasihati peguam untuk memastikan bedah siasat dijalankan, jika ia belum dilakukan.
Pada Rabu, Saifuddin mengetengahkan kes itu di Dewan Rakyat, mengemukakan pertanyaan mengenai punca sebenar kematian pelajar itu dan mendapatkan pengesahan mengenai unsur jenayah yang didakwa dalam kes itu.
Dia juga meminta pandangan Kementerian Pendidikan mengenai dakwaan bahawa pengetua sekolah Zara berkaitan dengan “VVIP”.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian memberi keutamaan kepada kes itu, memastikan siasatan yang adil dan telus akan dijalankan bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mustapha Sakmud memanggil sebarang percubaan untuk mengaitkan kematian Zara dengan isterinya, bekas pengetua di sekolah remaha itu, sebagai fitnah tidak berasas dan manipulasi politik.
Mustapha menjelaskan bahawa isterinya telah bersara sebagai pengetua sekolah itu lapan bulan sebelum Zara meninggal dunia.