Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mempersoalkan kenapa pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Edward Wong ditawarkan kemasukan ke universiti itu melalui sistem kemasukan terus yang kosnya “10 kali ganda mahal”.
Menyatakan setia kawan dengan Wong, kumpulan itu mempersoalkan kenapa dia ditolak melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU) tetapi ditawarkan melalui Program Asasi Saluran Terbuka (Satu)?
Wong memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM bercita-cita menjadi seorang akauntan. Tetapi impiannya musnah apabila enam universiti menolak permohonannya.
Dia kemudian berkongsi kekecewaannya di Facebook. Hantaran itu tular dan menarik perhatian Oresiden MCA, Wee Ka Siong, yang mengadakan sidang akhbar bersamanya semalam bagi menuntut penjelasan.
“Fakta bahawa Wong menerima tawaran kemasukan terus membuktikan dia memenuhi kelayakan untuk program tersebut.
“Namun, meskipun mencapai keputusan STPM 4.0 yang sempurna, dia kini terpaksa membayar yuran pengajian sehingga sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada orang lain untuk mengikuti kursus yang sama,” kata Umany.
Kumpulan itu menyifatkan meskipun kerajaan sudah berkuasa tiga tahun, reformasi sistem kemasukan universiti masih bersifat luaran, kerana ia “merawat simptom tanpa menangani punca”.
Mereka juga berkata proses universiti kini lebih rumit.
Umany juga menggesa Kementerian Pengajian Tinggi segera menerbitkan markah kemasukan minimum, nisbah pelajar UPU kepada pelajar kemasukan terus, dan pecahan kaum untuk semua universiti dan semua program tahun ini.
“Ketelusan sebegini adalah penting untuk orang awam memahami sepenuhnya bagaimana kemasukan dijalankan.
“Untuk menyokong pelajar yang menghadapi layanan tidak adil, Umany melancarkan platform aduan dan sudah mengumpul banyak kes berkaitan,” katanya.
Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman pada 27 Jun, mempertahankan pengambilan pelajar melalui kedua-dua sistem UPU dan Satu.
Kumpulan itu memetik data kemasukan yang menunjukkan bilangan pelajar kemasukan terus yang tidak seimbang dengan yuran yang lebih tinggi berbanding pelajar STPM.
Ia juga menyeru ketelusan dalam kriteria kemasukan dan data pendaftaran, menggesa universiti dan kerajaan untuk memastikan pendidikan yang adil.






