Malaysia Oversight

Kumpulan ajak turun berdemo tuntut Azam Baki undur

By MkiniBM in May 20, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Sekretariat Undur Azam Baki mengajak orang ramai turun ke Dataran Merdeka pada jam 8 malam, 24 Mei ini bagi menyatakan bantahan terhadap lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kumpulan itu berkata himpunan tersebut akan menjadi medan bagi rakyat menyuarakan pendirian terhadap pelantikan semula Azam.

Sekretariat Undur Azam Baki berkata program “Pidato Rakyat: Undur Azam Baki” dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam, 24 Mei ini.

“Pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SUruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan suatu tindakan yang mencemarkan prinsip integriti dan kebertanggungjawaban institusi awam.

53395e84b54d82092be64cbdc2befab6
Gambar fail, demonstrasi anti-Azam Baki pada Januari 2022.

“Langkah ini adalah satu penghinaan nyata oleh Madani terhadap usaha memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan keadilan negara,” kata kumpulan itu pada satu kenyataan.

Sekretariat itu turut memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan kempen #TangkapAzamBaki, yang pernah disokong oleh Perdana Menteri Ibrahim sebelum gabungannya membentuk perpaduan pada 2022.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap maruah dan integriti negara untuk bersama-sama menghadirkan dan menyatakan solidariti dalam himpunan ini,” tambah kenyataan tersebut, yang turut dimuat naik di laman Instagram Federasi Pemuda Kebangsaan.

Protes sama di Sabah

Sebelum ini, sebuah gerakan pelajar di Sabah turut mengumumkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah pelantikan semula Azam serta isu-isu berkaitan rasuah.

Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Jun depan, bertujuan menjadi “amaran tegas” kepada mereka yang didakwa menghancurkan Sabah demi kepentingan peribadi.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Azam, 62, memegang jawatan tersebut sejak 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya dan telah dilantik semula pada Mei 2023 serta Mei 2024.

7929167e6dc5a863d4d94b8c9422e177
Gambar fail, demonstrasi anti-Azam Baki pada Januari 2022.

Azam dikritik kerana tanggapan SPRM gagal bertindak pantas dalam menyiasat skandal rasuah di Sabah yang melibatkan beberapa dan pemimpin negeri.

Pada penghujung 2021, beberapa aktivis dan ahli politik pembangkang – termasuk mereka yang kini memegang jawatan menteri – menyertai beberapa siri perhimpunan dan protes membantah kontroversi pemilikan saham yang membabitkan Azam.

Namun pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku berkaitan pemilikan saham korporat, yang pada awalnya didakwa melanggar peraturan perkhidmatan awam kerana memiliki saham melebihi RM100,000 dalam sesebuah syarikat.

[Baca berita asal]





Source link