KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani terus menghidupkan peluang ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) BWF selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk–Ki Dong Ju di pusingan pertama Masters Kumamoto, Jepun hari ini.
Pasangan No.4 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-13 sekali gus kekal dalam buruan slot ke kejohanan penutup musim tersebut.
Kemenangan itu hadir sehari selepas pasangan senegara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun tersingkir mengejut di pusingan pertama kepada gandingan tuan rumah, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita.
Kekalahan Wei Chong–Kai Wun membuka ruang buat Sze Fei–Izzuddin untuk merapatkan jurang mata ranking Jelajah Dunia yang semakin kritikal menjelang penentuan dua minggu lagi.
Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan mata Sze Fei–Izzuddin perlu sekurang-kurangnya mara ke final di Kumamoto bagi memastikan lonjakan mata yang signifikan.
Beregu tersebut dijadual meneruskan cabaran di Terbuka Australia minggu depan, iaitu kejohanan terakhir sebelum penutupan kelayakan Jelajah Dunia Akhir.
Sementara itu, gandingan berpengalaman Nur Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong turut melakar kemenangan bergaya menewaskan pasangan Taiwan, Lai Po Yu–Tsai Fu Cheng 21-16, 21-14.
Turut mara ialah Ong Yew Sin–Teo Ee Yi yang menundukkan Chen Zhi Ray–Lin Yu Chieh dari Taiwan 21-18, 21-18 dalam tempoh hanya 31 minit permainan.
Gandingan Yew Sin–Ee Yi, kini di ranking ke-27 dunia, akan berdepan pasangan Jepun Midorikawa–Yamashita pada aksi pusingan kedua Rabu ini. – UTUSAN






