Malaysia Oversight

Kubur Zara akan digali semula secepat mungkin

By MkiniBM in August 9, 2025 – Reading time 2 minute
Kubur Zara akan digali semula secepat mungkin


Polis akan menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dilaksanakan susulan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

“Pihak polis akan melaksanakan keputusan itu. Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara (Mohd Khalid Ismail) pagi tadi bahawa pihak polis akan segera melakukan prosedur seterusnya.

“Tumpuan polis adalah untuk mengemas kini siasatan, mengumpul semua bukti, dan dalam menjalankan tugas ini, pihak polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan kerana kita perlu berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk keluarga arwah Zara dan pihak sekolah,” katanya pada sidang media di Machang, hari ini.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang, yang dirasmikan Perdana Menteri Ibrahim.

Saifuddin turut memberi jaminan polis akan memaklumkan perkembangan terkini kes berkenaan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada empat pagi, 16 Julai lepas.

-Bernama



Source link