Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjenamakan semula Integrated Ticketing System (KITS) kepada SuperApp KITS Style. Penjenamaan semula tersebut mencerminkan komitmen KTMB dalam menyokong transformasi gaya hidup digital berasaskan perkhidmatan rel pertama seumpamanya di Malaysia.

KITS Style bukan sekadar sebuah aplikasi untuk pembelian tiket. Ia kini diperluaskan sebagai platform gaya hidup digital yang menyeluruh merangkumi keperluan harian pengguna masa kini dalam aspek perjalanan, kewangan dan gaya hidup. Antara ciri-ciri utama yang ditawarkan oleh KITS Style termasuklah:
- Pembelian tiket untuk ETS dan semua perkhidmatan tren KTMB.
- Perancang perjalanan pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
- Tempahan penerbangan, penginapan, tempat menarik, dan kereta sewa.
- Kad prabayar digital KITS Style Mastercard.
- Program ganjaran eksklusif Rail Rewards untuk pengguna setia.
- Kemudahan pembayaran bil utiliti dan insurans.
- Fungsi pemindahan wang, tambah nilai dan akses kepada tawaran gaya hidup eksklusif.
Penjenamaan semula ini dilakukan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan KTMB sebagai penyedia perkhidmatan mobiliti yang bukan sekadar tertumpu kepada pengangkutan rel malah mendorong integrasi teknologi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Pengguna boleh memuat turun aplikasi KITS Style melalui platform seperti App Store, Google Play dan AppGallery bagi menikmati pengalaman baharu yang lebih mesra pengguna.