Malaysia Oversight

KTMB rugi RM100,000 setahun angkara haiwan berkeliaran

By Utusan in January 11, 2026 – Reading time 2 minute
KTMB rugi RM100,000 setahun angkara haiwan berkeliaran


KUALA KRAI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menanggung kerugian hampir RM100,000 setahun akibat pelanggaran berulang antara tren dan haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan landasan.

Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasinya Sadun Abdullah berkata, kejadian itu di sepanjang landasan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan hingga Tumpat, .

Katanya, hampir setiap minggu insiden pelanggaran itu berlaku sehingga menjejaskan kelancaran operasi serta jadual perjalanan kereta api.

“Setiap kali pelanggaran berlaku, KTMB bukan sahaja berdepan kerosakan aset dan kos pembaikan, malah terpaksa menanggung kerugian akibat kelewatan perjalanan tren penumpang dan kargo.

“Keadaan ini turut memberi kesan kepada penternak apabila ternakan mereka mati dirempuh tren, sekali gus menimbulkan kerugian dua hala yang sepatutnya dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB Mohd Azhar Abu Bakar

Sadun memberitahu, pelbagai langkah telah diambil termasuk memberi khidmat nasihat berterusan, menganjurkan kempen keselamatan, selain mengadakan pertemuan bersama penternak dan ketua kampung di kawasan terlibat.

Katanya, risalah keselamatan juga diedarkan ke surau dan masjid untuk dibuat pengumuman agar penternak lebih bertanggungjawab dan memastikan ternakan tidak menceroboh landasan kereta api.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan kerugian berterusan selain memastikan keselamatan operasi kereta api dan pengguna terjamin,” ujarnya.-UTUSAN





Source link