Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan menggesa kerajaan Sabah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan satu undang-undang khusus yang disebut sebagai “Undang-undang Zara”.
Kitingan berkata ia bagi membanteras kes buli di negeri itu dan seiring dengan kempen Keadilan Untuk Zara yang tercetus susulan kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, di Papar, baru-baru ini.
Katanya, undang-undang tersebut akan memberikan mesej yang jelas bahawa Sabah benar-benar serius dalam usaha membasmi budaya buli.
“Sempena sambutan Hari Sabah dan selaras dengan kempen Keadilan Untuk Zara, saya mencadangkan agar Sabah mengambil inisiatif untuk meluluskan undang-undang antibuli yang boleh kita namakan sebagai Undang-undang Zara.
“Ia bagi memastikan Sabah juga bebas daripada budaya buli,” katanya pada majlis perasmian larian dan sidang media khas sempena sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, semalam.
Gesaan ahli politik itu hadir di ketika tekanan awam kian meningkat berhubung isu buli, selepas beberapa kes berprofil tinggi mengejutkan ibu bapa dan menarik perhatian nasional.
Di Dewan Rakyat minggu lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, mencadangkan agar hukuman rotan diperkenalkan semula di sekolah bagi menangani isu buli yang semakin membimbangkan.
Zara Qairina meninggal dunia di hospital pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada jam 4 pagi hari sebelumnya.
Beberapa perhimpunan diadakan sejak kejadian itu bagi menuntut keadilan atas kematiannya yang dipercayai melibatkan unsur jenayah.
Susulan kematiannya, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas dakwaan membuat komunikasi yang bersifat mengugut atau menghina secara bersama-sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 507(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya.
Malaysia mengklasifikasikan perbuatan buli sebagai jenayah melalui pindaan Kanun Keseksaan pada Julai 2025, walaupun belum ada akta antibuli yang khusus diwujudkan setakat ini.
Terdahulu, Kitingan melancarkan Larian Merdeka sempena sambutan Hari Sabah dengan dianggarkan lebih 7,000 pelari hadir dan lebih 12,000 pendaftaran dibuat.
Larian sejauh 1,588km itu merentasi pelbagai daerah di seluruh negeri dan menghimpunkan peserta dari pelbagai komuniti.
Kitingan berkata sambutan yang luar biasa itu mencerminkan perpaduan dan semangat bangga rakyat Sabah, di samping memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai erti sebenar Hari Sabah.