Malaysia Oversight

KSN terima laporan prestasi semua ketua setiausaha kementerian 7 Mei

By MkiniBM in May 3, 2025 – Reading time 2 minute
KSN terima laporan prestasi semua ketua setiausaha kementerian 7 Mei


Laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar pada 7 Mei ini. 

Shamsul Azri berkata laporan berkenaan kini sedang diteliti oleh sebuah jawatankuasa dipengerusikan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum diserahkan kepadanya untuk semakan.

“Jawatankuasa ini sedang bersidang, pada 7 Mei laporan akan diberikan kepada saya untuk dinilai semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program City Trail Siri 1/2025 anjuran Perbadanan (PPj) hari ini.

Turut hadir KSU Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Noridah Abdul Rahim, Presiden PPj Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Holdings Sdn Bhd Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Shamsul Azri berkata laporan itu akan diteliti secara menyeluruh bagi menyemak dan memberi pengiktirafan terhadap prestasi setiap kementerian.

“Kita bukan hendak menghukum. Konsepnya ada dua, iaitu demerit dan remerit. Jika kementerian membuat sesuatu yang tidak baik, kita akan demerit. Tetapi, jika (kementerian) melaksanakan perkara baik, kita akan remerit,” katanya.

Sebelum ini, Shamsul Azri berkata prestasi kesemua 27 KSU akan dibentangkan kepadanya bagi menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam supaya lebih dinamik dan berasaskan data.

Dia berkata laporan itu merupakan penanda aras penting dalam pelaksanaan sepenuhnya Penilaian Prestasi Demerit (Deep), iaitu satu mekanisme kawalan strategik bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

Mekanisme Deep yang menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (Arpa) dibina berasaskan dua komponen utama, iaitu demerit dan remerit menerusi tiga dimensi penilaian prestasi melibatkan Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus) serta Tinjauan (10 peratus).

Pada program hari ini, Shamsul Azri meluangkan masa beramah mesra dengan peserta program Putrajaya City Trail, iaitu acara kayuhan sejauh 15 kilometer menyusuri tasik Taman Botani Putrajaya, bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan keindahan flora taman awam.

Dia juga menanam pokok kedondong di Laman Dapur serta melawat tapak projek penternakan lebah kelulut di Laman Kelulut.

-Bernama



Source link