Malaysia Oversight

KSN, bukan menteri wilayah ada kuasa dalam pengambilan Kg Sg Baru

By MkiniBM in September 15, 2025 – Reading time 2 minute
KSN, bukan menteri wilayah ada kuasa dalam pengambilan Kg Sg Baru


Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim berkata dia mahupun pendahulunya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk meluluskan pengambilalihan tanah Kampung Sungai Baru.

Sebaliknya, menurut Shahidan, kuasa tersebut terletak pada Ketua Setiausaha Negara.

Kenyataan itu dibuat dalam satu video yang disiarkan malam tadi, susulan kritikan terhadap PN selepas didedahkan bahawa warta bagi mengambil alih perkampungan Melayu itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah yang telah ditandatangani pada Jun 2021 – ketika PN berkuasa.

Pada ketika itu, Menteri Wilayah Persekutuan ialah Annuar Musa, manakala Shahidan mengambil alih portfolio berkenaan pada Ogos tahun sama.

Perbincangan antara pemaju dan penduduk Kampung Sungai Baru mengenai projek pembangunan semula bermula sejak 2016, dengan kemudiannya terlibat dalam proses rundingan pampasan.

Walaupun sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran dan berpindah, masih terdapat 16 keluarga yang enggan berbuat demikian dan menentang pengusiran. PN pula dilihat menyokong keluarga terbabit dengan mengetengahkan isu itu sebagai membela hak Melayu.

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Shahidan menjelaskan kuasa eksekutif berkaitan hal tanah di Wilayah Persekutuan telah diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri – yang diketuai Ketua Setiausaha Negara – sejak era Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi menteri.

Katanya, langkah itu dibuat bagi menyelaras urusan kerana hal tanah tidak berada di bawah bidang kuasa tunggal mana-mana agensi sahaja.

“Khalid Samad tiada kuasa eksekutif, Annuar tiada kuasa eksekutif, saya tiada kuasa eksekutif,” katanya.

Shahidan turut berkata Pejabat Tanah dan Galian juga mempunyai peranan dalam hal ini.

Dalam pada itu, Shahidan berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwa dia menandatangani warta pengambilalihan tanah tersebut, sambil menegaskan ia berlaku dua bulan sebelum dilantik sebagai menteri.

Ahli Parlimen Arau itu juga berkata, sepanjang tempoh menjadi menteri, dia telah berusaha sebaik mungkin untuk merundingkan pampasan yang adil kepada pemilik tanah Kampung Sungai Baru.



Source link