Mesyuarat agung tahunan Bersatu pada hujung minggu lalu menyaksikan cubaan meminggirkan presiden parti Muhyiddin Yassin.
Ia adalah satu langkah yang pernah berlaku dalam bentuk lain dalam parti itu, melibatkan kem-kem berbeza daripada Bersatu dan rakan Perikatan Nasional (PN), PAS.
Malaysiakini merungkai kronologi peristiwa berkaitan.
Dis 2022
Selepas gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum November 2022, PN melantik Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Sementara itu, Muhyiddin dilantik sebagai ketua gabungan PN di Parlimen, dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Nov 2023
Pada mesyuarat tahunan Bersatu, Muhyiddin mengumumkan rancangan untuk bersara sebagai presiden Bersatu menjelang 2024.
Bagaimanapun, dia mengubah fikiran dalam masa kurang 24 jam selepas Bersatu mendesaknya untuk kekal.
Penghujung 2024
Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata parti PN harus melepaskan cita-cita untuk menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan itu.
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin membantah dengan mengatakan partinya lebih sesuai untuk memimpin PN.
Pemimpin PAS juga mendesak agar setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan menjadi setiausaha agung PN selepas jawatan itu dikosongkan oleh Hamzah, yang dinaikkan sebagai timbalan pengerusi PN.
Bagaimanapun, jawatan itu sebaliknya diserahkan kepada Azmin Ali, orang kepercayaan Muhyiddin dalam Bersatu.
Perkembangan itu mendorong Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai bendahari PN.
Awal 2025
Pada Februari, lima pemimpin PAS – diketuai oleh timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man – dan lima pemimpin Bersatu – termasuk ahli majlis tertinggi Wan Saiful Wan Jan – berjumpa di Kuala Lumpur untuk mesyuarat peringkat tinggi.
Menurut sumber, pertemuan itu membuktikan bahawa PAS tidak berniat untuk menerajui negara.
Mereka kemudian dilaporkan membincangkan rancangan untuk menyusun semula PN dan memberikan kuasa operasi yang besar kepada Hamzah.
Rancangan itu dilaporkan bertujuan meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN. Bagaimanapun, rancangan itu dikatakan terbantut selepas mendapat tentangan yang diketuai oleh Azmin.

Objektif kumpulan daripada PAS untuk menyokong pertukaran kepimpinan tidak jelas, tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa Hamzah dilihat sebagai pemimpin yang lebih berkesan.
Perkara itu terbongkar pada Jun, dengan PAS mengeluarkan penafian. Bagaimanapun, cakap-cakap untuk menggantikan Muhyiddin dengan Hamzah masih berterusan.
Muhyiddin mendedahkan pada Julai bahawa dia mendapat sokongan Hadi untuk kekal sebagai pengerusi PN.
Seminggu sebelum AGM Bersatu pada 6-7 Sept
Sepucuk surat layang beredar menuduh Hamzah merancang untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Pada 8 Sept, disahkan bahawa kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu menandatangani akuan berkanun mendesak Muhyiddin menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Hamzah.
Utusan Malaysia dalam laporan selepas AGM itu, memetik Ketua Bersatu Ampang Mohd Isa Mohd Saidi sebagai mengesahkan perkara itu dan merupakan salah seorang yang menandatangani akuan berkanun.
Dia berkata ia adalah kerana kebimbangan dengan kelangsungan parti dalam pilihan raya umum akan datang, dengan pemimpin bahagian bimbang PAS mungkin meninggalkan Bersatu jika kedua-duanya terus bertelagah.
Malaysiakini difahamkan bahawa akuan berkanun itu belum diserahkan kepada Muhyiddin.
6 Sept
Muhyiddin secara terbuka berdepan dengan pihak yang menekannya dalam ucapan perasmiannya pada AGM, memberitahu mereka menghormati perlembagaan Bersatu.
Kenyataannya mencetuskan kekecohan dengan perwakilan jerit-menjerti antara satu sama lain.
7 Sept
Majlis Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat pagi sebelum hari kedua AGM bermula.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dalam mesyuarat itu, ia bersetuju untuk menghentikan paparan terbuka tentang perbezaan pendapat.
Kemudian semasa AGM perwakilan Bersatu meluluskan usul agar Muhyiddin kekal sebagai presiden. Mereka juga meluluskan usul supaya dia menjadi calon perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapannya kemudian, Hamzah menyatakan kesetiaan kepada Muhyiddin.
Muhyiddin, setelah mengukuhkan kedudukannya secara terbuka, dalam ucapan penggulungannya berterima kasih kepada PAS kerana terus menyokong kepimpinannya dalam PN.
8 Sept
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kemelut berkaitan akuan berkanun belum berakhir, dan seorang pemimpin kanan sedang menunggu untuk mendapatkan temu janji bagi menyampaikan pengisytiharan kepada Muhyiddin.