Malaysia Oversight

KPM umum larangan telefon pintar murid bawah 16 tak lama lagi

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 1 minute
KPM umum larangan telefon pintar murid bawah 16 tak lama lagi


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan menetapkan garis panduan khusus susulan cadangan pelaksanaan langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berusia bawah 16 tahun.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan garis panduan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

“KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan, termasuk usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi berkenaan.

“Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber, dengan mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Menurut KPM, semua institusi pendidikan di bawah seliaannya turut digesa memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan dapat ditingkatkan secara menyeluruh.

Kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan itu juga mencerminkan komitmen berterusan Madani dalam memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM.

– Bernama



Source link