PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan meneliti dan mengambil tindakan segera semua syor dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, yang bertujuan memerangi buli di institusi pendidikan.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara cadangan yang dikemukakan termasuk menambah baik saluran aduan buli supaya lebih mesra kanak-kanak.
“Cadangan lain termasuk hebahan segera secara meluas berkaitan salah laku buli, menyediakan pilihan untuk membuat aduan secara anonim dan memelihara kerahsiaan maklumat peribadi pelajar.
“Selain itu, jawatankuasa turut mencadangkan supaya memastikan perlindungan kepada pengadu, penubuhan jawatankuasa khas antibuli peringkat sekolah dan penambahbaikan kepada garis panduan pengurusan salah laku buli,” menurut kenyataan itu.
Pada ketika ini, KPM sedang melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“KPM mengalu-alukan cadangan dan sumbang saran daripada semua lapisan masyarakat bagi memerangi salah laku buli habis-habisan.
“Pada masa sama usaha sedang digembleng dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan hasrat untuk mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan tercapai,” menurut kenyataan itu. – Bernama