Malaysia Oversight

KPM sekat dua sekolah bina kemudahan guna dana sendiri

By MkiniBM in August 11, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (DAP-PH) mengecam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana menghalang pembinaan kemudahan untuk dua sekolah di kawasannya.

Cha berkata di Parlimen hari ini bahawa kedua-dua sekolah tersebut telah berjaya mengumpul dana mencukupi melalui majlis makan malam amal untuk membina sebuah dewan auditorium dan bumbung gelanggang bola keranjang masing-masing, namun permohonan mereka akhirnya ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan jabatan pendidikan daerah.

Dia turut mempersoalkan garis panduan dan peruntukan pembinaan serta pembangunan 2024 yang dikeluarkan oleh jawatankuasa standard dan kos Kementerian Pendidikan, yang melarang pembinaan dewan kuliah, auditorium, astaka sukan dan tandas VIP di sekolah rendah dan menengah melalui pembiayaan persendirian.

“Jika sekolah-sekolah ini mampu mengumpul dana sendiri, mengapa perlu kita tolak dan halang? Usaha ini hanya untuk menambah baik kemudahan sekolah. Sehingga hari ini masih ada sekolah rendah dan menengah, termasuk di kawasan saya sendiri, yang berjaya membina auditorium, dewan kuliah, astaka sukan dan sebagainya, termasuk sekolah bantuan (SBK), melalui pembiayaan persendirian.

“Tahun lalu, dua sekolah di kawasan saya — SMJK Chan Wa 2 dan SJKC Kampong Baru Mambau — telah mengadakan majlis makan malam amal dan berjaya mencapai sasaran kutipan. Namun, mereka ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan jabatan pendidikan daerah,” katanya.

Cha turut memaklumkan kedua-dua majlis makan malam amal itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan menggesa supaya tidak melaksanakan garis panduan yang “tidak masuk akal” serta membebankan pihak sekolah.

Dia juga mengulas dasar pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 berhubung prasekolah wajib dan walaupun menyokong cadangan tersebut, dia mempersoalkan sama ada infrastruktur sedia ada mencukupi untuk melaksanakan dasar itu di seluruh negara.

Tegasnya masih terdapat kekurangan prasekolah di seluruh negara dan ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa menghantar anak ke prasekolah swasta semata-mata untuk memenuhi syarat tersebut.

“Bagaimana dengan ibu bapa B40 yang tidak mampu menghantar anak ke prasekolah swasta?” soalnya.

Dia mengingatkan jika pendidikan prapersekolahan diwajibkan tanpa kemudahan mencukupi, ia akan menjadi tidak adil kepada ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak, sekali gus berdepan risiko melanggar undang-undang.

“Biar semua sekolah, sama ada sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, diberikan peruntukan sama rata untuk menubuhkan prasekolah sebelum melaksanakan dasar pendidikan praformal wajib,” katanya.

Cha turut menggesa kerajaan meningkatkan perbelanjaan bagi pendidikan khas, seperti yang disebut dalam RMK-13. dia menyokong rancangan kerajaan untuk menubuhkan 34 pusat pendidikan khas baharu bagi kanak-kanak autisme di seluruh negara, namun menyifatkan angka itu sebagai “terlalu kecil” dan perlu ditambah.

[Baca berita asal]



Source link