Malaysia Oversight

KPM jamin tak akan jadikan murid sebagai ‘tikus makmal’

By MkiniBM in January 22, 2026 – Reading time 2 minute
KPM jamin tak akan jadikan murid sebagai 'tikus makmal'


Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa dasar kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu, yang dijadualkan bermula pada 2027, dirangka dengan perancangan dan persediaan menyeluruh.

Menterinya, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa kanak-kanak tidak akan dijadikan “tikus makmal” dalam pelaksanaan dasar pendidikan baru ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui kebimbangan masyarakat terhadap langkah tersebut adalah wajar kerana ia melibatkan pendekatan yang masih baru.

“Saya ingin tekankan bahawa segala perkara yang dibangkitkan dan segala kebimbangan masyarakat ketika ini adalah sangat valid kerana ini adalah perkara baru. Kami juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberikan penerangan dan memastikan pelaksanaan ini berlaku dalam keadaan yang terbaik.

“Pertama, anak-anak kita bukan bahan ujian makmal, bukan tikus makmal,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung pelaksanaan dasar terbabit.

Mengulas lanjut, dia berkata dasar tersebut tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan dan dibahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk melalui pelbagai proses libat urus bersama pihak berkepentingan.

edcb6775c4f75ce4c0196591fb0da322

Fadhlina menjelaskan bahawa sesi libat urus telah dijalankan melalui Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, portal cadangan pendidikan masa hadapan, serta perbincangan di peringkat akar umbi.

“Kita tidak berhasrat menjadikannya projek rintis. Sebab itu ia dilaksanakan secara berfasa, bersifat sukarela dan disokong oleh ujian diagnostik.

“Mekanisme pelaksanaan ditentukan oleh KPM, termasuk sokongan emosi dan psikososial kepada murid.

“Dasar ini tidak juga bersifat tergesa-gesa dan tidak dibuat tanpa penglibatan pihak berkepentingan,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, mekanisme pelaksanaan ditentukan sepenuhnya oleh KPM, termasuk penyediaan sokongan emosi dan psikososial kepada murid yang terlibat.

Dia turut menegaskan bahawa fokus dasar tersebut adalah terhadap penguasaan kemahiran asas mengikut tahap perkembangan kanak-kanak, dan bukannya mempercepatkan pembelajaran akademik.

“Hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi emosi, kognitif dan kemahiran sahaja akan ditawarkan. Pembangunan modal insan bergantung kepada kualiti pembelajaran dan kemahiran asas, bukan semata-mata umur kemasukan sekolah,” katanya.

Tambahnya, pembangunan modal insan negara tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada umur kemasukan ke sekolah, sebaliknya kepada kualiti pembelajaran dan penguasaan kemahiran asas yang kukuh sejak awal.

Pada 20 Jan lalu, Perdana Menteri Ibrahim mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.

KPM turut memaklumkam kanak-kanak yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijadual menamatkan pendidikan peringkat menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun.

KPM dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) menjelaskan kumpulan murid itu tidak akan berada dalam Tahun Satu selama dua tahun, sebaliknya mengikuti struktur sedia ada: enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.



Source link