Malaysia Oversight

KPM giat laksana reformasi pendidikan

By Utusan in September 23, 2025 – Reading time 2 minute
KPM giat laksana reformasi pendidikan


LUMUT: Kementerian Pendidikan sedang giat menggerakkan usaha mereformasi pendidikan yang meliputi dasar, pelan kurikulum serta agenda-agenda termasuklah pengintegrasian Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) alaf baharu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu dilaksanakan di seluruh Perak menerusi Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan setiap dasar dan pelaksanaan pendidikan memberi tumpuan kepada aspek kemenjadian murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Serdang, Sitiawan, dekat sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian sekolah tersebut.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Fadhlina berkata, matlamat Kementerian Pendidikan bukan sekadar melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum semata-mata.

Sebaliknya, katanya, pihaknya turut mahu membentuk murid yang memiliki sahsiah terpuji, jati diri kukuh, madani dan mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan serta daya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, SK Seri Serdang dibina di atas tanah seluas 2.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM19 juta.

“Pada masa ini, sekolah ini mempunyai seramai 611 murid, daripada prasekolah hingga Tahun 6, mewakili kepelbagaian bangsa dan budaya manakala warga pendidiknya pula terdiri daripada 42 guru yang komited serta dibantu lima kakitangan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan bilangan murid di sekolah itu setiap tahun jelas membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.

Justeru, katanya, sekolah itu menjadi amanah bersama guru, ibu bapa dan komuniti untuk memastikan setiap murid mendapat pendidikan terbaik, seimbang, serta menyeluruh demi melahirkan insan yang holistik.

Katanya, bangunan sekolah itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti Makmal Komputer, Bilik Sains, Perpustakaan, Bilik Pemulihan, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, Surau, Bilik Muzik, bilik khas lain, selain Padang Serbaguna dan bangunan Prasekolah.

Beliau berkata, moto sekolah itu iaitu ‘Jadikan Ilmu Tuntutan Utama’ atau JITU, amat bertepatan dengan aspirasi pendidikan negara. – UTUSAN

 





Source link