Malaysia Oversight

KPKM didesak tangguh pindaan Akta PNVP 2004, RUU Kualiti Benih Tanaman

By MkiniBM in July 17, 2025 – Reading time 3 minute
KPKM didesak tangguh pindaan Akta PNVP 2004, RUU Kualiti Benih Tanaman


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) didesak untuk menangguh pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), sebuah jaringan yang terdiri daripada 250 individu yang terdiri daripada ahli akademik, golongan profesional, wakil NGO dan wakil kumpulan-kumpulan petani, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kurangnya proses rundingan berkaitan cadangan pindaan Akta PNPV 2004 dan RUU Kualiti Benih Tanaman.

“Walaupun menterinya (Mohamad Sabu) telah menyatakan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan pada tahun hadapan, isu konsultasi yang tidak memadai kekal kritikal untuk kedua-dua inisiatif perundangan ini.

“FKMM amat kecewa kerana sehingga hari ini, teks pindaan Akta PNPV 2004 dan RUU Kualiti Benih Tanaman masih belum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk konsultasi dan kajian yang menyeluruh.

“Ini bercanggah dengan jaminan yang telah diberikan oleh menteri sendiri di dalam sidang Dewan Rakyat pada tahun lepas, di mana beliau menyatakan bahawa kedua-dua pindaan dan RUU ini akan dirujuk dan dibentangkan terlebih dahulu kepada JPKP sebelum dibawa ke sidang Dewan Rakyat,” kata mereka.

Untuk rekod, pada 18 Nov 2024 Mohamad memberitahu parlimen bahawa pindaan kepada Akta PNPV dan penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada JPKP sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Rang Undang-Undang yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Terdahulu, jaringan itu hari ini berkumpul di hadapan pejabat KPKM di untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa kementerian tidak mengendah pandangan pihak berkepentingan sebelum membuat pindaan akta dan membentang RUU baru.

FKMM berkata bahawa mereka telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan KPKM sejak 2019, namun pertemuan tersebut lebih bersifat taklimat dan banyak persoalan yang dikemukakan tidak dijawab.

“Sehingga kini, KPKM gagal membentangkan teks pindaan untuk konsultasi awam dan gagal mengadakan perbincangan bermakna dengan persatuan-persatuan petani kebangsaan, masyarakat orang asli dan orang asal, serta negeri,” tambahnya.

Untuk rekod, cadangan pindaan Akta PNPV 2004 bertujuan untuk menyelaraskan akta tersebut dengan Konvensyen UPOV 1991 (International Union for the Protection of New Varieties of Plants).

Bagaimanapun, FKMM mendakwa ia bercanggah dengan perlindungan hak petani.

Mengulas lanjut, FKMM berkata Akta PNVP 2004 sedia ada telah dipuji sebagai model undang-undang yang berfungsi, yang mengimbangi kepentingan orang awam, pembiak baka tumbuhan komersial, pembiak baka awam dan petani kecil.

Akta ini juga mengandungi ciri-ciri penting yang mempertahankan hak-hak petani dan keterjaminan makanan negara, termasuk pengiktirafan sumbangan petani, kebenaran petani untuk menyimpan, menggunakan, berkongsi dan menjual benih, serta syarat bagi pemohon hak pembiak baka untuk mengisytiharkan sumber genetik bagi menangani “bio-piracy”.

“Pindaan yang dicadangkan akan menghapuskan ciri-ciri unik yang seimbang ini dan memberikan monopoli yang lebih luas kepada syarikat-syarikat benih dan pembiak baka tumbuhan,” dakwa mereka.

Tambahnya, bagi RUU Kualiti Benih Tanaman pula, penilaian impak peraturan yang dikatakan telah dibuat pada tahun 2018 adalah sangat tidak teratur dan tidak boleh dipercayai kerana tiada perundingan dengan petani dan orang ramai dibuat sebelum ia dikeluarkan.

“Objektif RUU ini untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dipuji, namun dengan mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian kepada semua individu yang menyimpan dan mengedar benih termasuk petani kecil, ia adalah satu perbuatan yang berlebihan dan hanya akan menguatkan lagi monopoli pihak korporat terhadap benih tanaman.

“Ini akan menyekat hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih tanaman sesama keluarga, rakan-rakan, dan orang awam, serta mungkin menyebabkan peningkatan kos kepada petani dan hukuman denda serta penjara yang keterlaluan,” katanya.

Ketika dihubungi, pejabat menteri berkata bahawa RUU Kualiti Benih Tanaman akan memastikan kepentingan petani di negara ini.

“Menteri sebelum ni dah tegaskan bahawa RUU Kualiti Benih yang akan dibentangkan nanti jangkaan tahun depan akan dipastikan menjaga kepentingan petani di negara kita.

“Pengarah Jabatan Pertanian telah diarah untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak terbabit terlebih dahulu,” kata jurucakap pejabat menteri.



Source link