Malaysia Oversight

Kontroversi FAM: Kita tidak bersatu sebagai sebuah negara

By MkiniBM in September 30, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Bekas pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi meluahkan rasa kecewa berhubung isu yang melanda skuad bola sepak negara yang menurutnya menyebabkan rakyat Malaysia berpecah belah.

Ini selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menggantung dan mendenda tujuh pemain warisan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen.

Bekas pemain Kedah yang lebih dikenali sebagai Mat Don itu tampil menyeru agar semua penyokong skuad Harimau Malaya berdiri teguh di belakang pengurusan pasukan dan tujuh pemain warisan berkenaan.

“Sebagai seseorang yang dengan bangganya pernah memakai jersi Malaysia dan mendedikasikan diri saya kepada negara ini, saya tidak boleh berdiam diri pada saat ini.

“Apa yang sedang berlaku, dengan keputusan mengejut Fifa terhadap pasukan kebangsaan kita bukan sahaja tidak adil, ia juga tidak menghormati Malaysia, para pemain kita, penyokong kita, dan usaha bertahun-tahun yang dilakukan dengan penuh ketelusan dan mengikut setiap peraturan.

“Malaysia telah melakukan segala-galanya dengan betul. Setiap dokumen, setiap prosedur, setiap langkah diikuti dengan kerjasama kita, FAM dan Fifa sendiri. Para pemain ini sudahpun diluluskan. Sekarang tiba-tiba, keputusan diubah? Mengapa? Oleh siapa?” soalnya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

d03a30846ac1de29057a5d4123b3b428

Mat Don, yang kini merupakan pemain tengah Miami United, berkata, ketika ini setiap rakyat Malaysia, pemain, penyokong, media, , dan semua orang perlu berdiri bersama.

“Tetapi apa yang paling menyedihkan bagi saya apabila melihat dalam situasi seperti ini, kita tidak bersatu sebagai sebuah negara. Ini sepatutnya bukan masa untuk perpecahan.

“Jika kita tidak mempertahankan bangsa kita sendiri, tiada siapa yang akan melakukannya. Kepada rakyat Malaysia, sekarang adalah masa untuk bersatu.

“Sokong pemain kita, sokong pasukan kita, sokong bendera kita. Kita tidak akan tunduk kepada ketidakadilan. Kita tidak akan membiarkan tekanan luar menghentikan kebangkitan Malaysia. Kita berjuang bersama. Kerana kita adalah Malaysia,” katanya lagi.

Pada 26 Sept, Fifa mengumumkan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain atas pelanggaran Perkara 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) mengenai pemalsuan dan penipuan.

Barisan pemain, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano, juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.

Fifa berkata FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Susulan itu, Setiausaha agung FAM Noor Azman Rahman berkata mereka sudah mengenal pasti “kesilapan teknikal” dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan itu.

Dalam perkembangan itu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa FAM tidak perlu bimbang berhubung dakwaan pemalsuan dokumen bagi pemain warisan Harimau Malaya — selagi proses yang berkaitan mematuhi undang-undang sedia ada.

Dia menegaskan apabila berdepan kemungkinan pelanggaran kod tatatertib Fifa, tahap pematuhan proses yang terlibat terhadap Perlembagaan Persekutuan juga perlu diambil kira.

“Jika anda (FAM) melakukan perkara yang betul… Ya, bagaimana kita mengukur ‘perkara yang betul’ itu? Adakah ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan?

“Patuhi akta atau undang-undang sedia ada — ikut Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Itulah asasnya,” katanya dipetik MalaysiaGazette sebagai berkata.



Source link